9 Keadaan Hukum Faraid Jika Suami Meninggal & Isu Lain

Kami terpanggil untuk menulis berkenaan dengan hukum faraid jika suami meninggal ataupun dalam banyak situasi lain lagi. Faraid merupakan satu bentuk pengurusan harta pusaka dalam Islam dan telahpun ditentukan oleh Allah dalam Al Quran. Oleh sebab ianya datang daripada Allah, kita sebagai orang Islam pula kena meyakini akan adanya hikmah tertentu yang kita tak nampak.

Kami terpanggil untuk memberikan input berkenaan dengan topik pengurusan kewangan Islam pada hari ini iaitu kaedah ringkas pembahagian faraid. Kaedah ringkas tidak susah tetapi apabila seseorang terutama waris melewat-lewatkan pembahagian harta pusaka sehingga menyebabkan ada waris lain yang meninggal, ianya akan menyebabkan harta beku dan pembahagian menjadi semakin susah.

Faraid adalah pembahagian yang terakhir setelah seseorang itu meninggal dunia. Waris perlu lihat dengan detail adakah si mati ada meninggalkan wasiat. Jika ada urusan akan jadi lebih mudah. Boleh baca apa itu wasiat di SINI. Lagi mudah kalau si mati ada buat hibah, info hibah itu di SINI. Selepas bayarkan hutang si mati, kemudian tengok sama ada si mati ada buat wasiat atau hibah, jika ada selepas itu baru boleh dibuat pembahagian faraid sesama waris yang ada.

Apa Maksud Faraid?

Menurut Istilah di dalam Syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang islam yang telah di tetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak seperti (Anak, Isteri, Suami, Ibu, Bapa dan Lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada bentuk agama (Zakat, Nazar dll) atau segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan syarak.

Apa Dalil Faraid

Dalil dan hukum berkenaan dengan hal ini boleh didapati di dalam Surah An Nisa Ayat 11 dan 12 dan satu lagi detail pembahagian ini anda boleh dapati di Surah An Nisa ayat 176. Ianya diterangkan secara detail di dalam ayat-ayat di atas dan menjadi asas kepada hukum pembahagian harta pusaka dalam Islam.

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisa : 11)

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. (Surah An-Nisa : 12)

Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa : 176)  (sumber : surah.my)

Bagaimana Cara Pembahagian Faraid

Ayat di atas panjang dan sangat detail berkenaan dengan pembahagian harta setelah kematian seseorang. Kalau ayat berkaitan solat pun tidak diterangkan solat fardhu tu kena 5 waktu. Tetapi pembahagian Faraid adalah sangat detail dan untuk info, setiap mahzab sama ada Mazhad Imam Shafie, Imam Hanafi, Imam Hambali dan Imam Maliki mempunyai pengiraan yang berbeza. Tetapi asas pengiraan adalah berdasarkan kepada ayat al quran di atas dan juga  hadis-hadis nabi yang berkaitan.

Rukun Faraid

  • Ada Yang Mati – jika tiada yang meninggal, pembahagian secara Faraid ini tidak berfungsi kerana tidak cukup syarat. Kematian melibatkan ibu, bapa, isteri dan anak-anak lainnya.
  • Ada Harta – si mati yang meninggal dunia wajib mempunyai harta kerana jika tiada harta, tiada apa yang boleh dibahagikan. Maka, faraid tidak boleh dilaksanakan.
  • Ada Waris – Jika seseorang itu sewaktu meninggal adalah yatim piatu dan tiada waris, tidak diwajibkan faraid. Ianya hanya terpakai untuk mereka yang mempunyai waris sahaja. 

Sebagai kesimpulannya, hukum berkaitan dengan far@id ini hanya dapat dilaksanakan apabila cukup ketiga-tiga rukun ini. Jika tidak cukup, maka faraid tidak dapat dilaksanakan. 

Hukum Faraid Suami Meninggal

Ini adalah pecahan pembahagian sekiranya suami meninggal dan ada waris yang merupakan seorang ibu, bapa, 1 isteri, 1 anak lelaki dan 1 anak perempuan. 

  • Ibu – 1/6 = 16.67%
  • Bapa – 1/6 = 16.67%
  • Isteri – 1/8  = 12.5%
  • 1 Anak Lelaki – 2 Bahagian daripada Asabah (Baki) = 36.11%
  • 1 Anak Perempuan – 1 Bahagian dari Asabah (Baki) = 18.05%

Asabah = baki

Jumlah harta pusaka perlu ditolak daripada ibu, bapa, dan isteri, dari situ baru dapat berapa jumlah Asabah.

Bagaimana jika si mati kahwin lebih dari satu? Dalam kes ini, jumlah 1/8 daripada milik isteri ini, perlu dibahagikan kepada bilangan isteri yang ada secara sama rata. Perlu ingat, jika si mati ada buat hibah bersyarat seperti dalam artikel ini, akan lebih memudahkan. Contoh si mati berkahwin 2, jadi setiap isteri hanya dapat 1/16 daripada jumlah harta.

Bagaimana hukum faraid suami meninggal tiada anak lelaki?

Waris yang layak secara asasnya adalah ibu bapa, pasangan dan anak-anak. Tetapi jika waris itu tiada anak lelaki, bapa ataupun cucu lelaki, barulah adik beradik si mati akan memperolehi bahagian masing-masing.

Bagaimana Pembahagian Jika Ayah Meninggal?

Perlu kenalpasti waris yang ada, jika ayah meninggal masih ada anak lelaki, tiada lagi atuk ataupun nenek, pembahagian akan menjadi seperti di bawah

  • Ibu – tiada
  • Bapa – tiada
  • Isteri – 1/8  = 12.5%
  • 1 Anak Lelaki – 2 Bahagian daripada Asabah (Baki)
  • 1 Anak Perempuan – 1 Bahagian dari Asabah (Baki)

Pecahan Pembahagian Faraid Isteri / Ibu Meninggal

  • Ibu (isteri) – 1/6 = 16.67%
  • Bapa (isteri) – 1/6 = 16.67%
  • Suami – 1/4  = 25%
  • 1 Anak Lelaki – 2 Bahagian daripada Asabah (Baki) 
  • 1 Anak Perempuan – 1 Bahagian dari Asabah (Baki) 

Ini adalah pembahagian asas dalam faraid dan kami percaya setiap orang mempunyai kepelbagaian yang berbeza. Ada situasi tiada anak, ada juga situasi waris yang sudah meninggal dunia, untuk itu, adalah lebih baik untuk merujuk kepada mereka yang lebih arif dan pakar. Artikel di dalam blog ini adalah ilustrasi semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup ataupun mereka yang sudah meninggal dunia.

Kami rekemen anda baca juga artikel ini

Jangan berhenti setakat ini sahaja, teruskan pembacaan berkenaan dengan isu faraid ini. Kami rekemen anda dapatkan buku INI dan satu lagi buku berkaitan dengan Faraid di SINI. Ianya mampu memberikan panduan kepada anda berkenaan asas Faraid.

FAQ (Soalan yang Sering Ditanya Berkenaan Faraid)

Apa itu faraid?

Ianya adalah salah satu pembahagian harta pusaka dalam Islam

Dari mana dalil wajib faraid

Dalil wajib faraid ada di dalam surah An Nisa ayat 11 dan 12, juga surah An Nisa ayat 156.

Macam Mana Pembahagian Faraid

Faraid mempunyai pembahagian yang tersendiri dan boleh rujuk artikel ini untuk pembahagian lanjut.

Jika tiada harta, boleh ke guna hukum faraid?

Salah satu syarat pembahagian harta pusaka adalah seseorang itu mesti mempunyai harta. Jika tiada harta, tidak perlu menggunakan hukum faraid.

Leave a Reply

Pin It on Pinterest