Kali ini kami nak berikan info berkenaan dengan badal haji untuk orang yang sudah meninggal dunia. Tanggungjawab seorang anak tidak akan terputus sungguhpun ibu bapanya nanti sudah meninggal dunia. Bukan itu sahaja, anak juga perlu tahu akan kewajipan ke atas waris untuk menghajikan atau mengupah pihak-pihak tertentu untuk memyempurnakan ibadah haji bagi ibu bapa yang meninggal.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda semua berkenaan dengan badal haji untuk orang yang sudah meninggal dunia. Banyak info yang akan kami kongsikan kepada anda dan anda boleh baca artikel ini sampai habis.

Apa itu badal haji?
Haji terkandung dalam Rukun Islam kelima yang mana ia mewajibkan ke atas semua umat Islam yang berkemampuan untuk mengerjakan haji.
Dalam syarak, haji bererti mengunjungi Baitillahilharam untuk mengerjakan ibadah tertentu pada waktu tertentu dengan syarat-syarat tertentu.
Badal haji pula adalah ibadah haji yang dilaksanakan oleh seseorang atas nama orang lain yang telah memiliki kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
Namun orang tersebut berhalangan sehingga tidak dapat melaksanakannya sendiri, maka pelaksanaan ibadah haji tersebut diserahkan kepada orang lain.
Hukum pelaksanaan badal haji
Dalam menyabitkan hukum mengenai pelaksanaan ibadah badal haji untuk orang yang sudah meninggal dunia ia telah dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh.
Selain daripada itu, berdasarkan hadis daripada Ibn Abbad RA
أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Maksudnya: “Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 1852)
Justeru, berdasarkan semua pendapat ini, boleh disimpulkan bahawa hukum mengupah haji (badal haji) bagi pihak mereka yang telah meninggal dunia yang tidak sempat untuk menunaikan haji ketika hidup adalah dibolehkan syarak, namun hendaklah menepati sebagaimana syarat-syaratnya.
Syarat badal haji
Terdapat beberapa syarat badal haji yang perlu kita beri perhatian khusus sebelum mengerjakan ibadah tersebut. Antara syaratnya adalah seperti yang berikut:
- Tidak sah badal haji bagi sesiapa yang mampu untuk melakukannya sendiri.
- Badal haji boleh dilakukan apabila individu tersebut mempunyai halangan seperti menghidap sakit yang tidak sembuh, lumpuh, atau sudah meninggal dunia.
- Badal haji tidak sah kepada orang-orang fakir kerana ketiadaan duit, ianya hanya dibolehkan sekiranya seseorang itu mempunyai halangan seperti lumpuh, sakit, atau tidak berdaya atas sebab-sebab tertentu.
- Seseorang yang belum menunaikan haji untuk dirinya sendiri tidak harus untuk melakukan badal haji kepada orang lain.
- Dibolehkan wanita atau lelaki buat badal haji untuk individu yang mempunyai jantina berlawanan.
- Bila seseorang itu meninggal dunia dan dia mempunyai wang atau harta, adalah lebih baik dia dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat atau tidak.
- Sebaiknya badal haji dilaksanakan oleh anak, kerabat, atau saudara mara berdekatan. Hukumnya harus sekiranya dilakukan oleh orang lain.
- Tidak boleh seseorang yang diwakilkan itu, mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan syarat ia diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan dia bersetuju dengan tindakan itu.
- Wakil mereka yang diupahkan haji itu hendaklah seorang yang baik, jujur, amanah, dan berilmu untuk melaksanakan ibadah haji tersebut.
Rukun badal haji dan larangan ketika badal haji
Umumnya, dari segi rukun badal haji dan larangan ketika badal haji adalah sama seperti mana yang telah ditetapkan untuk ibadah haji biasa.
Cara mengerjakan badal haji
Berikut ini kami kongsikan rukun haji atau cara mengerjakan badal haji yang tepat.
1. Niat badal haji
Lafaz badal haji adalah seperti yang berikut:
نَوَيْتُ الحَجَّ عَنْ فُلَانٍ وَأَحْرَمْتُ بِهِ للهِ تَعَالَى
Nawaitu hajja ‘an fulan (sebut nama jemaah hajiyang dibadalkan) wa ahramtu bihi lillahi ta ‘ala
Maksudnya: “Sahaja aku berniat badal haji bagi (nama) dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”
2. Wukuf di Arafah
Ibadah ini dilakukan di Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu zuhur) 9 Zulhijjah sehinggalah sampai terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
3. Tawaf haji
Seterusnya adalah bertawaf. Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali pusingan. Tawaf bermula dari Hajar Aswad dan kita sangat disarankan untuk mengusap Hajar Aswad ketika melawatinya.
4. Sa’i haji
Langkah mengerjakan ibadah badal umrah yang berikutnya adalah sa’i. Sa’I adalah perjalanan ulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak 7 kali.
Ia bermula dari sudut Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syarat yang tertentu.
5. Bertahallul
Tahallul adalah bercukur atau bergunting. Untuk lelaki sebaiknya mencukur rambut sampai habis dan jemaah perempuan memotong rambut minimal 3 helai.
6. Tertib
Akhir sekali adalah tertib yang mana kita haruslah melaksanakan segala rukun haji satu persatu atau sesuai dengan tuntutan, turutan, dan peraturan yang ditetapkan.
Kelebihan melaksanakan badal haji untuk orang sudah meninggal
Setiap ibadah atau amalan baik yang dilakukan oleh kita pastinya mempunyai kelebihan yang tertentu kepada kedua-dua belah pihak.
Antara hikmah yang paling utama boleh kita pelajari dari pelaksanaan badal haji untuk orang meninggal adalah Allah memberikan peluang untuk anak-anak berbakti kepada ibu bapa mereka bagi menyempurnakan ibadah haji yang tidak sempat dilaksanakan ketika masih hidup di dunia.
Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan ibadah haji bagi kedua ibu bapanya selepas mereka meninggal dunia, maka Allah akan melepaskan dari neraka dan kedua ibu bapanya akan memperoleh pahala satu haji yang sempurna tanpa dikurangkan pahala dari keduanya sedikitpun.” – (Hadis Riwayat Imam Al-Baihaqi & Ibni ‘Asakir)
Diharapkan artikel berkenaan dengan badal haji untuk orang yang sudah meninggal dunia ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Umrah DIY yang paling murah, telus, puas hati
Buat umrah bersama keluarga pastinya menjadi momen yang tidak dapat dilupakan sama sekali. Namun lebih ramai ahli keluarga yang pergi tentunya lagi tinggi kos yang perlu kita bayar.
Bagaimana caranya untuk kita semua dapat buat umrah tanpa agen dan dibawah kos 20% lebih murah dari pakej agensi umrah dan travel?
Tahukah anda, kita sebenarnya boleh rancang Umrah DIY sendiri dengan panduan percuma “5 Langkah Mudah Rancang Bajet Umrah” .
Layari sahaja www.rahsiaumrahdiy.com dan dapatkan segala informasi bermanfaat untuk bantu anda rancang bajet umrah dengan mudah dan cepat.