5 Info Apa Itu PN17 dan GN3?

Kalau anda pelabur saham, mesti pernah dengar apa itu PN17 dan GN3 kan? Kali ini, kami nak berikan info yang agak detail berkenaan dengan topik tersebut. Ini adalah antara beberapa info yang anda perlu tahu berkenaan dengan topik tersebut.

Pernahkah anda membeli saham tetapi anda dapati saham yang anda beli itu sudah tidak tersenarai dalam papan sebut harga bursa saham? Anda pasti tertanya-tanya apa status saham yang anda miliki tersebut. Artikel pada kali ini akan berkongsi informasi penting tentang apa itu PN17 dan GN3. 

apa itu pn17

Fenomena PN17 dan GN3 Menghantui Syarikat Di Era Pandemik

Practice Note 17 (PN17) adalah status yang diberikan kepada syarikat yang bermasalah dan tersenarai di papan utama (Main Market). Manakala bagi Guidance Note 3 pula, status ini diberikan kepada syarikat yang bermasalah dan tersenarai di papan ACE (ACE Market). Simbol “!” biasanya digunakan di dalam mana-mana platform trading untuk memberi tahu kepada pembeli saham yang saham tersebut tergolong dalam kategori PN17 atau GN3. 

Mungkin tidak ramai yang biasa dengar tentang dua status ini. Tetapi sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, kami rasa kebanyakkan orang sudah mula mengambil tahu tentang hal ini apatah lagi di surat khabar banyak headlines yang memaparkan tentang kes-kes syarikat bermasalah di Malaysia. 

Hal ini disebabkan pandemik telah membawa perubahan yang sangat besar kepada landskap ekonomi negara termasuk dari segi aras produktiviti, pelaburan, dan pembelanjaaan isi rumah. Bukan itu sahaja, malah kehadiran norma baru ini juga telah menyebabkan gangguan yang tidak terjangka kepada syarikat-syarikat berkenaan kecairian dan perspektif leverage yang mempengaruhi prestasi kewangan. 

Kriteria Syarikat PN17

  • Ekuiti terkumpul pegangan saham oleh syarikat yang tersenarai itu berada pada atau kurang daripada 25% daripada modal berbayar (paid-up capital)
  • Penerima atau pengurus dilantik untuk menguruskan aset syarikat atau anggota syarikat dengan nilai terkumpul lebih 50% daripada aset syarikat
  • Anak syarikat dan syarikat bersekutu gulung tikar sehingga 50% nilai terkumpul daripada aset syarikat
  • Juruaudit mempunyai pendapat yang tidak memihak kepada syarikat dalam laporan kewangan
  • Bayaran tertunggak kepada institusi kewangan dan syarikat mesti mengumumkan ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi tuntutan ini. Syarikat mesti membuat deklarasi kemampuan bayar mengikut Practice Note 1/2001 atau PN1
  • Syarikat disenaraikan sudah mengantung atau menghentikan semua atau sebahagian besar operasinya

Kriteria Syarikat GN3

  • Ekuiti terkumpul pegangan saham oleh syarikat yang tersenarai itu berada pada atau kurang daripada 25% daripada modal berbayar (paid-up capital)
  • Syarikat disenaraikan mengalami kerugian untuk 1 tahun kewangan selepas ia disenaraikan. Jumlah kerugian bersamaan atau melebihi jumlah ekuiti pemegang saham bagi tahun kewangan itu. Ekuiti pemegang saham pula sama atau kurang daripada 50% saham dikeluarkan dan modal berbayar bagi akhir tahun kewangan yang sama
  • Syarikat disenaraikan mengalami kerugian terkumpul untuk dua tahun kewangan berturut-turut selepas disenaraikan dengan:
  • Penerima dan/atau pengurus dilantik untuk mengambil alih 50% daripada jumlah aset syarikat yang disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan
  • Penutupan anak syarikat atau syarikat sekutu yang meliputi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah aset syarikat disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan
  • Juruaudit memberi pendapat bahawa kedudukan kewangan syarikat tidak bagus dan memberi penafian berdasarkan akaun beraudit yang terkini syarikat
  • Juruaudit menyatakan kebimbangan tentang keupayaan syarikat untuk meneruskan operasi dalam penyata kewangan beraudit terkini dan ekuiti pemegang saham adalah 50% atau kurang daripada saham yang dikeluarkan dan modal berbayar syarikat
  • Bayaran tertunggak kepada institusi kewangan oleh syarikat disenaraikan, anak syarikat utama atau syarikat sekutu utama.

Senarai Syarikat PN17 (Kemaskini 14 July 2021, Bursa Malaysia)

1. Asia Media Group Berhad

2. Barakah Offshore Petroleum Berhad

3. Bertam Alliance Berhad

4. Brahim’s Holdings Berhad

5. China Automobile Parts Holdings Limited

6. Comintel Corporation Berhad

7. Daya Materials Berhad

8. Dolomite Corporation Berhad

9. Fsbm Holdings Berhad

10. Iqzan Holding Berhad (Formerly Known As Ire-Tex Corporation Berhad)

11. Konsortium Transnasional Berhad

12. Malaysia Pacific Corporation Berhad

13. Nationwide Express Holdings Berhad

14. Perak Corporation Berhad

15. Scomi Energy Services Berhad

16. Scomi Group Berhad

17. Seacera Group Berhad

18. Sumatec Resources Berhad

19. TH Heavy Engineering Berhad

Senarai Syarikat GN3 (Kemaskini 14 July 2021, Bursa Malaysia)

1. G Neptune Berhad

2. Idimension Consolidated Berhad

Info Tentang PN17 dan GN3:

Ini adalah antara beberapa info yang anda perlu tahu.

1. Saham tidak boleh didagangkan di Bursa Malaysia

Bursa Saham adalah suatu pertubuhan rasmi bagi pelaburan Malaysia. Ia berfungsi sebagai platform yang menyediakan dan mengatur urusniaga saham di Malaysia, menyediakan maklumat saham kepada pelabur, mencairkan matawang dan menyalurkan bagi projek pelaburan, serta menyediakan indeks am pergerakan harga dan tahap kedudukan ekonomi negara. 

Sebagai seorang pelabur saham, tindakan anda untuk memastikan sama ada syarikat yang anda pilih untuk melabur itu stabil dan menguntungkan adalah sangat mustahak. Sekiranya syarikat dikeluarkan dari Bursa Malaysia, kemungkinan untuk saham merudum adalah tinggi. Kesan buruk lain yang anda perlu hadap sudah tentu pada duit pelaburan saham akan lesap dan hilang begitu sahaja sekiranya syarikat tersebut tidak sempat untuk menjual saham kepada entiti lain. 

2. Modal pelabur runcit tidak boleh dicairkan

Seperti yang anda maklum, antara sebab mengapa ramai orang sudah mula berminat untuk melabur dalam saham adalah kerana ia memiliki kadar kecairan yang sangat tinggi. Berbeza dengan aset rumah atau tanah yang memiliki kadar kecairaan yang rendah, di mana untuk menjual salah satu dari aset yang dinyatakan tadi prosesnya mungkin akan memakan masa sehingg berbulan atau bertahun-tahun lamanya. Tetapi sekiranya anda membeli saham dari syarikat PN17 atau GN3, nasib anda juga tidak akan selamat. khususnya kepada pelabur runcit yang sering mendominasi pasaran saham tempatan.

Pelabur runcit boleh diistilahkan sebagai individu yang membeli dan menjual sekuriti untuk akuan peribadi, dan bukan untuk syarikat atau organisasi lain. Mereka yang melabur secara perseorangan dan menumpukan sepenuhnya kepada keuntungan saham semata-mata tidak mempunyai backup kewangan lain untuk membuat pusingan balik modal dalam perniagaan sendiri. Hal ini makin menjejaskan perniagaan mereka, apabila terlibat dalam pembelian saham di syarikat PN17 dan GN3 kerana saham amat sukar dijual. Kerugian mereka akan makin bertambah sehingga ada segelintirnya yang diisytiharkan sebagai muflis

3. Syarikat bermasalah perlu ada pelan perancangan penstrukturan semula syarikat

Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan syarikat bermasalah yang disenaraikan oleh Bursa Malaysia. Mereka diberi peluang untuk merangka pelan perancangan penstrukturan semula syarikat kepada Bursa Malaysia. Pelan ini khusus untuk membetulkan dan memulihkan semula operasi dan pengurusan syarikat. Hanya selepas pelan tersebut dilaksanakan, syarikat boleh mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia bagi menarik kembali status PN17 atau GN3 mereka. 

Namun, sekiranya syarikat masih berdegil dan tidak mahu mengambil langkah pemulihan ini, Bursa Malaysia berkuasa untuk menggantung urusniaga saham syarikat dan lebih teruknya lagi mereka boleh dinyahsenarai dari Bursa Malaysia. 

4. Harga saham jatuh dan merundum

Harga saham tidak tetap dan sering berubah-ubah sama ada meningkat atau menurun. Jangan hairan juga jika anda melihat harga saham syarikat itu tidak bergerak dan static. Pasaran saham adalah tempat untuk menjual beli seperti kedai runcit. Apabila ramai pembeli daripada penjual maka harga saham cenderung untuk naik. Apabila ramai penjual daripada pembeli, maka harga saham akan cenderung untuk turun sehingga ada yang sanggup memberi tawaran terendah lalu menimbulkan panic selling. 

Situasi yang berlaku pada saham syarikat bermasalah adalah mereka bergelut dengan saham yang merundum dan jatuh bukan kerana terlalu kurang pembeli tetapi kerana saham yang dinyahsenarai selalunya adalah lemah secara asas (fundamental). 

Saham yang dinyahsenaraikan tidak akan sesekali menukar hak pegangan saham tetapi sebaliknya memberi kesan kepada nilai sesaham. Hal ini disebabkan kebanyakan syarikat yang terlibat ini mempunyai negatif ekuiti pemilik saham. Jadi tidak mustahil sekiranya duit pelaburan pelabur akan hangus begitu sahaja.

Namun begitu, bukan semua syarikat berstatus PN17 mempunyai masalah kewangan. Kadang kala, syarikat tersebut telah menjual perniagaan induknya. Bursa akan memberi masa yang mencukupi bagi syarikat tersebut memulakan perniagaan yang baru atau melakukan penstrukturan semula.

5. Mahu “cut loss” atau terus kekal dengan saham bermasalah?

Pelabur yang resah melihat saham syarikat mereka pegang bertukar kepada status PN17 atau GN3 biasanya akan berada di dalam dilema sama ada mahu “cut loss” atau terus kekal dengan saham tersebut. Amat sukar syarikat yang sudah bermasalah untuk rebound semula dan keluar dari status hitam mereka. Pelabur yang bijak biasanya sudah peka dengan tanda-tanda awal syarikat tersebut akan melangkah ke ketegori PN17 atau GN3, apabila melihat kepada corak penurunan prestasi syarikat. 

Tindakan pelabur memilih untuk membuat “Cut Loss” seawal mungkin adalah sangat wajar dan tepat berbanding terus menunggu. Hal ini untuk menyelamatkan poket anda dari hangus kesemuanya. Cut Loss bermakna memotong (cut) kerugian (loss), dan merupakan suatu tindakan dilakukan oleh trader untuk menghentikan kerugian dalam pelaburan yang telah dilakukan. Dalam bahasa mudah, satu had untuk jual semula saham sekiranya harga menjunam. 

Dua teknik popular cut loss yang selalu digunakan adalah cut loss pada harga beli, dan cut loss pada paras support. 

Anda perlu faham dan sedar bahawa tidak semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah syarikat yang akan memberi peluang cerah kepada keuntungan anda. Jangan sesekali memandang sesuatu itu hanya dari kaca mata luar walaupun pada awal penyenaraian syarikat-syarikat di Bursa Malaysia, anda nampak syarikat tersebut mampu memberikan pulangan yang lumayan. 

Hal ini kerana syarikat-syarikat PN17 dan GN3 biasanya mempunyai masalah dari sudut kewangannya, laporan kewangan yang tidak tepat, pihak pengurusan yang bermasalah, dan mengalami kerugian yang teruk sepanjang sukuan dan tahunan. Diharapkan artikel ini memberikan anda kesedaran dan informasi yang berguna untuk menjadi seorang pelabur yang bijak pada masa akan datang. “Bijaklah dalam melabur, ada ilmu baru mantap.”

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *