Tahukah anda siapa golongan yang layak menerima zakat dan bagaimana zakat disalurkan? Zakat merupakan syiar yang menjadi tunggak pembangunan ekonomi kerajaan Islam. Di samping mensucikan harta dan jiwa, zakat berperanan untuk membantu membina kehidupan umat Islam dari segi ekonomi dan sosial.
Kebiasaannya, zakat akan dibayar kepada pusat zakat yang dilantik oleh kerajaan sebagai wakil untuk menguruskan harta zakat. Pusat zakat juga menjalankan usaha yang keras bagi mengenalpasti dan menyalurkan harta zakat kepada golongan yang berhak.
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” surah At-Taubah ayat 60.

8 GOLONGAN ASNAF ZAKAT
Berdasarkan ayat 60 Surah At-Taubah, terdapat 8 golongan yang layak menerima zakat. Penerima zakat ini dipanggil sebagai asnaf. Berikut merupakan asnaf zakat seperti yang disebutkan dalam Al-Quran
Asnaf fakir
Golongan ini merupakan golongan yang tidak mempunyai harta untuk menyara diri dan tanggungan atau nilai hartanya kurang 50% daripada Had Al-Kifayah.
Asnaf miskin
Orang Islam yang mempunyai harta tetapi masih tidak mencukupi keperluan diri dan tanggungan dengan nilai hartanya melebihi 50% daripada Had Al-Kifayah.
Asnaf amil
Petugas yang dilantik mewakili pihak kerajaan untuk membuat pungutan dan pengurusan zakat. Islam menjaga kebajikan petugas-petugas ini dengan mensyariatkan bahagian asnaf untuk mereka.
Asnaf muallaf
Golongan muallaf termasuk asnaf zakat sebagai tanda mengalu-alukan mereka dan menjadi insentif untuk mempelajari Islam di kelas-kelas agama.
Asnaf gharimin
Orang Islam yang berhutang atas sebab untuk menyara keperluan asasi diri dan tanggungan, atau
Orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat.
Asnaf fisabilillah
Fisabilillah ialah perjuangan dan aktiviti yang bertujuan menegakkan agama Allah. Golongan ini termasuklah institusi masjid, sekolah-sekolah agama, badan dakwah serta pelajar-pelajar Islam dalam bidang yang membantu maslahat ummah.
Asnaf riqab
Mengikut syarak, golongan ini merupakan golongan yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau konsep perhambaan. Menurut Lembaga Zakat Selangor, golongan ini merangkumi mereka yang terjerumus dengan kerosakan akhlak dan pelacuran. Pengagihan zakat kepada mereka bertujuan membantu untuk keluar daripada jalan hidup yang terpesong.
Asnaf ibnu sabil
Orang Islam yang kehabisan belanja semasa dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum syarat.
HAD AL-KIFAYAH
Had Al-Kifayah merupakan kadar minimum untuk memenuhi kecukupan asas dalam kehidupan seseorang. Ia menjadi kayu ukur untuk membezakan golongan fakir dengan golongan miskin. Had ini merangkumi 6 aspek keperluan asas iaitu perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pendidikan dan pengangkutan. Jumlah pengiraan Had Al-Kifayah adalah dinilai berdasarkan keperluan bulanan dan ditentukan oleh pihak pengurusan zakat.
ASNAF DARI GOLONGAN IBU TUNGGAL ATAU OKU
Mungkin anda tertanya-tanya samada golongan ibu tunggal atau golongan kurang upaya termasuk dalam golongan asnaf? Jawapannya, tidak. Kedua-dua golongan ini hanya layak menerima zakat sekiranya mereka tergolong dalam 8 kumpulan asnaf seperti yang telah disebutkan. Sekiranya mereka mempunyai harta yang cukup untuk menyara keperluan diri dan tanggungan, mereka tidak layak menerima agihan zakat.
SIAPAKAH GOLONGAN YANG TIDAK LAYAK UNTUK MENERIMA ZAKAT?
Sebagai pengeluar zakat, anda haruslah memahami golongan yang diharamkan menerima dan tidak boleh diberikan zakat kepadanya.
- Keturunan Nabi Muhammad SAW
- Orang kaya
- Hamba sahaya
- Orang kafir
- Orang yang cukup pemberian nafkah oleh wali/keluarganya
- Kaum keluarga di bawah tanggungan
- Orang sihat tubuh badan dan mampu untuk mencari pendapatan
Zakat adalah bertujuan membantu asnaf untuk keluar dari kesempitan hidup dan membina kehidupan berdikari. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk memperbaiki hidupnya, maka ia merendahkan martabat Islam yang menyeru umatnya berusaha untuk memakmurkan hidup.
ZAKAT KEPADA AHLI KELUARGA
Kaum keluarga di bawah tanggungan adalah golongan yang haram menerima zakat. Apakah maksud perkara ini dan mengapa Islam menggariskan syarat begini? Bukankah Rasulullah SAW pernah menggalakkan kita untuk mengutamakan pemberian kepada ahli keluarga terdekat?
Ahli keluarga terdekat seperti ayah dan ibu, adik-beradik, datuk nenek, isteri dan anak-anak merupakan tanggungjawab kita terutama sekali sebagai ketua keluarga. Menjadi kewajipan untuk memberi nafkah dan mencukupkan keperluan mereka.
Anda dibolehkan untuk membayar zakat kepada ahli keluarga yang bukan dalam tanggungan nafkah. Ahli keluarga seperti ibu/bapa saudara, sepupu, atau anak saudara merupakan antara yang bukan dalam tanggungan. Anda boleh memberi zakat kepada mereka sekiranya mereka termasuk dalam golongan asnaf.
Boleh baca juga zakat ASB di bawah ini;
PANDUAN MEMBAYAR ZAKAT KEPADA AHLI KELUARGA
Dalam konteks sistem zakat di negara kita adalah lebih baik untuk membayar zakat kepada pusat zakat. Menurut undang-undang perlembagaan, anda boleh dikenakan denda sekiranya enggan membayar zakat kepada pusat zakat atau amil yang telah dilantik. Sekiranya anda tetap ingin mengagihkan wang zakat anda sendiri, terdapat beberapa panduan yang digariskan oleh pihak pengurusan zakat iaitu:
- Memastikan penerima termasuk golongan asnaf.
- Memaklumkan kepada pusat zakat negeri.
- Jumlah zakat yang besar seperti yang ditentukan oleh Majma’ Fiqh Islami.
Panduan ini bertujuan untuk menjaga hak asnaf dan memastikan sistem zakat tetap terpelihara. Pusat zakat juga ada menawarkan skim wakalah untuk anda mengagihkan secara terus kepada asnaf. Jadi, rujuklah kepada pusat zakat di negeri anda supaya zakat anda sah dan bermanfaat untuk ummah.
Pelbagai program bantuan dibina oleh pusat zakat melalui sistem yang sangat ekstensif. Harta zakat dibahagikan mengikut keperluan asnaf seperti bantuan pembinaan rumah, bantuan pemulihan akhlak dan bantuan hutang perubatan. Setiap asnaf pula akan disiasat latar belakang mereka untuk memastikan mereka benar-benar layak untuk mendapat bantuan zakat.
Pengurusan zakat di Malaysia adalah saluran yang dipercayai. Sebagai sebahagian daripada umat Islam di Malaysia, kita haruslah menjalankan kewajipan kita dan meyakini bahawa harta zakat yang dikumpulkan oleh pihak kerajaan dimanfaatkan untuk melindungi kebajikan dan pembangunan ummah.
Sekiranya anda mempunyai persoalan lanjut, bolehlah melayari laman web rasmi zakat di negeri anda. Kami berharap artikel kali ini membantu anda untuk memahami info asnaf dan pengagihan harta zakat.
Akhir kata, harapnya, artikel golongan yang layak menerima zakat ini memberikan info kepada anda. Mintak tolong subscribe channel telegram Smartinvest101 dan dapatkan free ebook.
Juga boleh tengok beberapa artikel kami yang lain berkaitan dengan zakat;