Pengalaman Mohon Rumah Mesra Rakyat 2024

Ini adalah pengalaman mohon rumah mesra rakyat untuk keluarga terdekat saya yang mempunyai tanah sendiri akan tetapi tak ada modal nak bina rumah. Jika anda memang mempunyai tanah sendiri, tetapi tak ada modal nak bina rumah, anda boleh cuba untuk memohon rumah mesra rakyat ini.

Dalam artikel ini, kami nyatakan beberapa info, input dan kesediaan mental dan fizikal kalau anda nak memohon skim ini. Kesediaan mental dan fizikal kena ada kerana ianya taklah seperti yang digambarkan dan mungkin harapan kepada kerajaan baru untuk menambahbaik skim ini agar lebih banyak rakyat yang boleh mendapat manfaat.

pengalaman permohonan rumah mesra rakyat

Ada Tanah Sendiri? Ini Pilihan Nak Bina Rumah

Memang banyak yang tanya saya, saya ada tanah sendiri, macam mana nak bina rumah atas tanah?

Berikut adalah antara beberapa cara ringkas macam mana anda nak bina rumah atas tanah sendiri. 

Guna Simpanan / Pencen

Kebanyakan rakan-rakan yang saya kenal, memang kalau nak bina rumah atas tanah adalah apabila pencen nanti. Bila dah pencen nanti, dapat duit sekelepuk, memang boleh dan tiada masalah untuk bina rumah atas tanah sendiri. 

Akan tetapi cara ini tak digalakkan terutama kalau anda cuma ada wang dari KWSP dan nak gunakan wang tersebut untuk bina rumah atas tanah sendiri. Sebab itu ada statistik yang mengatakan, kebanyakan mereka yang dapat wang dari KWSP, habis tak sampai 3 tahun. Lepas habis, terpaksalah bekerja kembali.

Boleh tak ada masalah, cuma kena rancang kewangan anda betul-betul. Ideal adalah untuk anda bina rumah sebelum pencen dan apabila anda dapat duit pencen, bolehlah rancang sebaiknya.

Personal Loan – Pembiayaan Peribadi / LPPSA

Boleh sahaja kalau anda gunakan pinjaman peribadi untuk membina rumah atas tanah. Kalau anda merupakan seorang yang bekerja dalam sektor kerajaan, memang ada pembiayaan khusus untuk membina rumah atas tanah menggunakan dana dari LPPSA

Anda dah ada tanah dan layak untuk membuat pinjaman loan, tak ada masalah untuk anda membina rumah sendiri atas tanah.

Refinance Rumah

Cara lain adalah dengan refinance rumah. Dalam blog ini dan juga dalam channel youtube kami memang ada beberapa video berkenaan dengan topik refinance rumah ini. Anda buat pembiayaan semula rumah dan daripada cash tersebut, anda boleh gunakan untuk bina rumah atas tanah. Memang tak ada masalah dan cara ini memang dibolehkan.

Ini adalah antara beberapa cara selain daripada menggunakan program Rumah Mesra Rakyat dari SPNB.

Permohonan Rumah Mesra Rakyat

Yang penting ada tanah dan tidak semestinya tanah tersebut ada nama anda. Walaupun tanah tiada nama anda, apa yang anda perlu lakukan adalah untuk mendapatkan persetujuan tuan tanah.

Inisiatif program ini memang sangat baik dan ianya menggalakkan atau memberi peluang kepada mereka yang tergolong dalam berpendapatan rendah bagi memiliki rumah sendiri dan didiami oleh mereka dan ahli keluarga. Tak perlu nak terlalu lama menyewa dan inisiatif program ini memang sangat baik.

Di dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program rumah mesra rakyat akan melibatkan pembinaan 4,250 unit dengan peruntukan sebanyak RM358 juta!

Rumah Ini Dapat Subsidi Kerajaan

Rumah ini mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20000. Banyak tak RM20,000 tu, pada saya sangatlah banyak. Kalau memang anda mempunyai tanah sendiri dan tergolong dalam kategori yang dinyatakan, sangatlah baik untuk anda sendiri memohon program ini.

Bayaran bulanan yang anda perlu bayar pun dalam sekitar RM300 dan sangat berguna sebab anda ada rumah sendiri jika nak dibandingkan dengan rumah sewa. Rumah sewa pun bayaran tak jauh beza dan mungkin lebih mahal lagi.

Kelayakan Permohonan

  • Warganegara Malaysia.
  • Pemohon mestilah berumur 18 – 65 tahun.
  • Pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM3,000.
  • Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri / atau memiliki rumah usang / tidak sempurna.
  • Tanah/tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan.
  • Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000 kps (tertakluk kepada rekabentuk).
  • Tertakluk kepada peruntukan kewangan. [sumber] https://spnb.com.my/rumah-mesra-rakyat/

Dokumen Yang Diperlukan

  • Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan).
  • Salinan kad pengenalan tuan tanah.
  • Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan).
  • Salinan geran hakmilik tanah terbaru dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru
  • Slip gaji terkini (3 bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua*.
  • Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang*.
  • Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah.
  • Salinan sijil nikah pemohon.
  • Borang laporan tapak bergambar.

Cara Permohonan RMR

Cara permohonan adalah secara online ataupun anda boleh cuba hubungi pejabat SPNB yang terdekat dengan tempat anda. 

Mohon sahaja secara online di lama web rasmi SPNB dan kemudian, anda perlu upload semua borang berkaitan beserta gambar rumah. Kalau gambar rumah tu lebih kepada kedudukan tapak tanah dan jalan masuk je, Borang berkaitan anda boleh dapatkan di laman web SPNB.

Hampir setiap negeri ada cawangan masing-masing dan anda boleh berhubung dengan cawangan di negeri anda. Boleh ke SINI

Pengalaman – Apa Yang Anda Perlu Tahu

Di atas kertas memang nampak semua ok sahaja jika tak ada apa-apa masalah. Macam mana jika ada masalah dikemudian hari. Saya juga ada nyatakan perihal ini dalam video saya di bawah ini.

Antara beberapa isu yang membelenggu Rumah Mesra Rakyat adalah isu kelambatan proses menyiapkan projek.

Yang paling susah kalau nak mohon rumah SPNB ini adalah nak dapatkan kebenaran tuan tanah untuk bina tanah di atas tanah mereka. Kebenaran mestilah di hadapan pesuruhjaya sumpah yang berhampiran.

OK, apa yang susah kalau macam tu?

Yang susah adalah ketika anda nak mohon dan tuan tanah ada seramai 8 orang. Kesemua 8 orang ini kena hadir dihadapan pesuruhjaya sumpah untuk beri kebenaran kepada pemohon. Ini agak sedikit melecehkan, akan tetapi, proses ini perlu. Kalau tuan tanah tak ramai tak mengapa, kalau ramai ni yang ada sedikit masalah nak kumpulkan mereka.

Ada beberapa kali isu kontraktor lari dan projek terbengkalai. Ada mungkin isu dan masalah dari segi pembayaran kepada kontraktor dan lain-lain. Yang paling bermasalah dan mungkin boleh diperbaiki oleh kerajaan baru sekarang ini adalah isu kelambatan projek untuk disiapkan. 

Berdasarkan pengalaman saya melihat sendiri rumah mesra rakyat yang dipohon oleh mereka yang terdekat dengan saya, kebiasaan projek akan ambil masa sehingga 1 setahun lebih dan juga, ada masa sehingga 2 tahun untuk disiapkan. Ianya memang tak munasabah dan penting bagi mereka yang berkepentingan untuk melihat semula perkara ini dan ditambah baik pada masa akan datang.

Untuk kes bagi anda yang mempunyai tanah sendiri dan nak bina rumah, Rumah Mesra Rakyat dari SPNB adalah antara pilihan terbaik untuk anda.

Contoh Rumah SPNB

Memang ada banyak pilihan dan contoh RMR SPNB ini. Contoh-contoh rumah terkini anda boleh lihat sendiri dalam laman web milik mereka. Boleh ke SINI untuk info lanjut.

Apapun, inilah serba sedikit berkenaan dengan pengalaman mohon rumah mesra rakyat yang anda perlu tahu dan dapat kami kongsikan kepada anda pada kali ini. Ada tanah dan anda layak, mohon sahaja skim ini. Cuma, anda kena bersedia, ada kemungkinan jika keadaan masih sama, tempoh pembinaan rumah akan ambil masa sehingga 2 tahun. Cuma harapnya perkara ini boleh diperbaiki lagi dengan adanya kerajaan baru.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *