13 Info Apa Itu CCRIS Terkini 2021

Apa itu CCRIS dan apa yang anda perlu tahu berkenaan dengan term ini. Baru-baru ini kecoh tentang individu yang hendak selesaikan masalah disenarai hitamkan tetapi ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Masalah ditipu dan menipu memang sering kali terjadi dalam masyarakat Malaysia. Salah satu puncanya adalah sikap kurang mengambil tahu dan tergopoh-gapah dalam membuat sesuatu keputusan. Contohnya seperti isu CCRIS dan CTOS yang sering kali membuat anda keliru dengan pengurusan kewangan sendiri. 

apa itu ccris

Apa Itu CCRIS?

Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Sistem Maklumat Kredit Pusat adalah sebuah sistem pangkalan data berkomputer yang dikendalikan di bawah Biro Kredit Bank Negara Malaysia. Fungsinya adalah sebagai pengumpul, memproses, menyimpan, dan menyediakan maklumat kredit setiap individu di Malaysia yang mana untuk jangka masa panjang maklumat tersebut akan dimasukkan di dalam laporan kredit peribadi. Ringkasnya, semua perincian tentang pinjaman bank anda akan tertera di dalam laporan CCRIS itu. 

Tiga bahagian utama yang selalunya anda boleh lihat dalam laporan CCRIS adalah seperti Laporan Ringkas Kredit, Laporan Kredit Terperinci, dan Laporan Kredit Tambahan. 

Proses CCRIS berlaku

Apabila anda membuat pinjaman, laporan bulanan ini akan dihantar oleh setiap institusi kewangan yang ada di Malaysia kepada Credit Bureau (Jabatan Kredit) Bank Negara. Kesemua data sulit ini akan disimpan dalam sistem CCRIS. Kemudian, data tersebut akan diproses oleh sistem CCRIS kepada bentuk yang lebih ringkas iaitu format laporan kredit yang mana ia boleh diakses oleh mana-mana sahaja institusi kewangan apabila mereka mahu.

Untuk pengetahuan anda, laporan CCRIS selalunya merangkumi jumlah pinjaman, interest, dan caj-caj tertunggak pada setiap pinjaman anda sama ada pinjaman perumahan, peribadi, kad kredit, sewa beli atau overdraft. Dari situ, institusi kewangan dapat melihat dengan jelas sama ada anda berpotensi untuk lulus pinjaman yang seterusnya atau pun tidak. Mereka akan menganalisis jumlah setiap bayaran bulanan yang perlu anda bayar kepada bank dalam tempoh setahun (12 bulan), senarai pinjaman yang pernah anda buat, sebarang baki pinjaman yang anda tertunggak serta segala rekod bayaran yang selesai anda lunaskan. 

Jika di sekolah, analogi mudah ini boleh digambarkan sebagai buku rekod disiplin murid yang dipegang oleh seorang guru disiplin. Dengan adanya rekod, peminjam akan lebih berdisiplin dalam mengendalikan sistem kewangan diri mereka. 

Sampai Bila Rekod CCRIS Anda Kekal?

Persoalan yang sering diutarakan oleh ramai orang, “boleh ke record buruk atau tertunggak tu terhapus?” Jawapannya boleh. Katakan anda bayar full settlement untuk loan tersebut, anda akan dapat surat dari bank yang mengatakan anda memang sudah selesai membayar kesemua hutang tersebut. Tanggungjawab bank seterusnya adalah mereka akan update status anda kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Setiap 15 haribulan BNM akan kemas kini sistem yang baru dan di situ anda boleh semak semula rekod CCRIS. Namun, jika terdapat masalah seperti status tidak dikemas kini, anda boleh melaporkan semula kepada bank berkenaan.

Contoh Laporan CCRIS Yang Cantik

Untuk anda pastikan rekod CCRIS anda cantik, anda perlulah mempunyai rekod pembayaran balik hutang yang cantik serta tiada tunggakan sama sekali. Jika tiada tunggakan, nombor di bawah huruf OSAJJMAMFJDN di atas akan menunjukkan angka kosong. 

Ya, kalau semua 00000000 barulah mudah untuk buat pinjaman rumah ataupun apa-apa jenis pinjaman lain. Ini memang berkaitan dengan apa itu CCRIS, nanti kami akan guide macam mana nak dapatkan laporan CCRIS.

Nak Labur Saham Tak Perlukan CCRIS Dan CTOS

Nak labur dalam saham tak perlu pun CCRIS dan CTOS ini. Asalkan ada bank statement dan IC sudah cukup. Tapi kalau ada slip gaji lagi bagus la. Biasanya CCRIS dan CTOS ini perlu kalau nak buat pinjaman dengan bank. Kenapa perlu? Kerana bank ada scoring yang dikelaskan agar peminjam mampu bayar balik pinjaman.

Jika anda memang nak tahu CCRIS dan CTOS, boleh teruskan pembacaan. Tetapi kalau nak tahu berkenaan dengan cara untuk anda menambah pendapatan dengan saham, boleh rujuk beberapa artikel di bawah ini;

Apa Itu CTOS?

Credit Tip Off Service (CTOS) merupakan sebuah organisasi persendirian atau syarikat swasta yang menyediakan laporan kredit. Ia amat aktif digunakan secara meluas oleh mana-mana bank dan institusi kewangan di Malaysia bagi mengenal pasti sama ada pemohon layak atau tidak dalam membuat pemohonan kredit.

Rujukan CTOS datang dari pelbagai sumber antaranya seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), notis akhbar, penerbitan prosiding undang-undang, dan warta kerajaan. Oleh itu, institusi kewangan ini boleh menyemak maklumat seperti status muflis, tindakan undang-undang, status kes, dan pemilikan serta info perniagaan peminjam. 

Terbaru syarikat CTOS ini sedang dalam proses senaraikan IPO mereka. Anda bolehlah labur dalam IPO tersebut dan kalau tak sempat, boleh mula melabur dalam saham mereka di Bursa. Ianya berbeza antara keduanya dan harapnya anda tahu beza apa itu CCRIS dan CTOS.

Beza CCRIS dan CTOS

CTOS dan CCRIS berguna untuk melihat kelayakan seseoang sebelum membuat pinjaman. Perbezaan yang sangat ketara bagi kedua-duanya sudah tentu pada institusi yang mengendalikannya. CCRIS datang dari badan kerajaan BNM, manakala CTOS dari sebuah syarikat swasta persendirian. 

Dari segi rujukan dan sumber pengumpulan data juga tidak sama kerana CCRIS mendapatkan data dari institusi kewangan di Malaysia, sementara CTOS pula dari sumber awam. 

CCRIS Boleh Timbulkan Masalah?

Betul ke salah satu faktor loan selalu bermasalah adalah disebabkan kuasa CCRIS dan CTOS? Anda perlu jelas, CCRIS dan CTOS hanya berkuasa menyimpan laporan pinjaman individu dan syarikat tetapi tiada hak untuk blacklist nama anda dalam rekod tersebut. 

Namun, setiap langkah yang anda buat pasti akan ada kesannya di kemudian hari. Inilah salah satu sebab mengapa rakyat Malaysia takut setiap kali ingin menyemak laporan CTOS atau CCRIS mereka lebih-lebih lagi jika laporan mereka buruk. Ini penting bagi menjawab persoalan artikel ini berkenaan dengan apa itu CCRIS.

Pertama, anda akan menemukan kesulitan untuk membuat permohonan pinjaman. Pinjaman wang memang dapat membantu untuk meringankan bebanan hutang yang perlu ditanggung. Tetapi bagaimana jika anda sudah mempunyai banyak hutang dan kemudian ingin meminjam lagi untuk berhutang? 

Pasti lebih menyukarkan diri anda sendiri. Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Contoh yang mudah untuk anda faham, ibaratnya seperti anda meminjam wang dari rakan lalu beberapa bulan kemudian ingin meminjam lagi dengannya tanpa membayar balik hutang lama. Jelaskan di situ, bukan sahaja bank bahkan rakan anda sendiri pun akan berkira-kira untuk memberikan pinjaman. 

Kedua, perjalanan anda ke luar negara akan terjejas. Tidak semua orang yang berhutang akan muflis tetapi setiap yang muflis pasti akan bergelut dengan hutang yang tidak mampu mereka bayar. Status muflis akan menyebabkan nama anda tercemar dan disenarai hitamkan. Lantaran itu, anda pasti tidak akan dibenarkan untuk ke luar negara. 

Ketiga, potensi untuk permohonan pinjaman anda diluluskan adalah sangat tipis. Sebelum peminjam meminjam wang, pihak tertentu khususnya seperti bank akan menyelidik latar belakang dan rekod anda terlebih dahulu. Jika prestasi anda tidak bagus dalam melunaskan hutang terdahulu, kemungkinan besar permohonan tersebut akn gagal. 

4 Sebab CCRIS dan CTOS Sangat Penting

  • Kegunaan analisis oleh pihak bank bagi proses meluluskan atau menolak permohonan kredit
  • Melihat senarai rekod sejarah bayaran balik hutang dan tunggakan yang masih ada
  • Penentu sama ada anda dalam kategori mendapat Loan-to-Value (LTV) yang tinggi jika status kewangan cemerlang atau interest rate yang tinggi jika rekod kewangan bermasalah. 
  • Memudahkan bank untuk mengira nisbah kredit atau Debt Service Ratio (DSR) anda

Langkah Membuat Semakan CTOS dan CCRIS

Nak tahu apa itu CCRIS, apa kata anda dapatkan rekod melalui info di bawah ini.

1. Akses melalui digital telefon pintar

Langkah 1: Muat turun aplikasi “CTOS” dari Google Play Store (Android) atau Apps Store (iOS)

Langkah 2: Jika anda baru pertama kali menggunakan aplikasi ini, tekan butang “Sign Up”. Tetapi jika anda pengguna lama dan berstatus aktif, tekan butang “Log in” untuk meneruskan urusan. 

Langkah 3: Isikan segala maklumat yang diminta

Langkah 4: Untuk pengesahan, muat naik gambar kad pengenalan diri anda ke dalam sistem

Langkah 5: Selesai semua langkah, tekan butang “Submit”. Anda akan menerima laporan melalui e-mail dari pihak CTOS dalam masa 3 jam waktu bekerja 

Langkah 6: Anda juga boleh “Log in” aplikasi untuk melihat rekod kewangan anda (boleh tengok credit score meter sama ada Excellent atau Very Weak).

2. Akses melalui walk-in ke kiosk Bank Negara Malaysia 

Langkah 1: Bawa kad pengenalan (MyKad) anda bersama

Langkah 2: Lawati mana-mana cawangan BNM yang ada di setiap negeri

Langkah 3: Dapatkan laporan CCRIS secara percuma di kiosk BNM

3. Akses melalui walk-in ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Langkah 1: Bawa kad pengenalan (MyKad) anda bersama

Langkah 2: Lawati mana-mana cawangan AKPK yang ada di setiap negeri

Langkah 3: Dapatkan laporan CCRIS secara percuma di cawangan AKPK

4. Akses melalui laman web e-CCRIS Bank Negara Malaysia

Langkah 1: Layari laman web e-CCRIS (https://eccris.bnm.gov.my/)

Langkah 2: Klik butang “First Time Login” jika anda pengguna baru berdaftar

Langkah 3: Anda perlu mengisi segala maklumat yang dikehendaki dengan betul bersama nombor PIN bagi tujuan keselamatan

Langkah 4: Kemudian, ikut arahan seterusnya untuk melengkapkan proses pendaftaran

Langkah 5: Anda akan mendapat notis “selesai” atau “pendaftaran berjaya” jika pendaftaran tersebut lengkap. 

Langkah 6: Refresh laman web berkenaan, dan tekan butang “Log in” untuk masuk semula ke dalam sistem e-CCRIS. Pilih “Enquiry” untuk mendapatkan laporan CCRIS anda. 

5. Akses melalui laman web RAM Credit Info (RAMCI)

Langkah 1: Layari laman web RAMCI (https://www.mycreditinfo.com.my)

Langkah 2: Tekan butang “get started”

Langkah 3: Kemudian, isikan segala maklumat yang dikehendaki dan dapatkan juga kod OTP yang betul

Langkah 4: Masukkan nombor OTP yang anda dapat

Langkah 5: Tekan butang “sign up” dan ikut arahan seterusnya untuk melengkapkan proses pendaftaran anda

Langkah 6: Untuk mengetahui status pendaftaran anda sama ada berjaya atau gagal, laporan CTOS akan dihantar terus ke emel anda. Untuk mendapatkan laporan penuh tersebut, cas sebanyak RM 15 akan dikenakan. 

6. Akses ke laman web CTOS

Langkah 1: Layari laman web CTOS (https://ctosid.ctos.com.my)

Langkah 2: Kemudian, isikan segala maklumat yang dikehendaki dan dapatkan juga kod OTP yang betul

Langkah 3: Masukkan verification code yang anda dapat

Langkah 4: Tekan butang “continue” dan ikut arahan seterusnya untuk melengkapkan proses pendaftaran anda

Langkah 5: Untuk mengetahui status pendaftaran anda sama ada berjaya atau gagal, laporan CTOS akan dihantar terus ke emel anda. Untuk mendapatkan laporan penuh tersebut, cas sebanyak RM 26.50 akan dikenakan.

3 Jenis Maklumat Utama di dalam CCRIS

  • Rekod senarai tunggakan pinjaman (outstanding loans)
  • Hutang-hutang dibawah pemerhatian bank (special attention account)
  • Permohonan pinjaman yang sedang diproses dan pertimbangkan (loan/credit facility application) 

4 Maklumat yang Menjejaskan Kelulusan Pinjaman

  • Maklumat muflis status individu
  • Tindakan undang-undang yang dikenakan atau tertunda
  • Tindakan gagal melangsaikan pinjaman sebagai penjamin
  • Tunggakan bil-bil tertentu

Apa yang Anda Perlu Semak Dalam Laporan CCRIS & CTOS

  • Maklumat peribadi
  • Semua rekod telah dikemas kini
  • Tiada tindakan undang-undang yang dikenakan
  • Maklumat perniagaan dan faedah yang direkodkan
  • Status rekod tindakan undang-undang atau tunggakan bayaran telah dikemaskini

Bagaimana Untuk Bersihkan Rekod Buruk CCRIS? 

1. Combine hutang dan buat bayaran ansuran bulanan secara auto

Kira, kira, dan kira semua hutang yang anda belum selesaikan lagi. Kemudian gabungkan hutang-hutang tersebut kepada satu pinjaman peribadi baru. Langkah ini boleh membantu anda untuk memantau pembayaran pinjaman tersebut dalam satu ansuran bulanan sahaja dengan lebih efisien. Untuk mengelakkan anda cuai, terlupa, atau terlepas membuat pembayaran balik, anda boleh tetapkan cara pembayaran secara autodebit atau standing instruction. Ingat sikap anda yang sering lewat membuat bayaran ansuran bulanan pinjaman akan menjejaskan rekod CCRIS.

2. Prinsip Save and Safe Money

Selesaikan hutang yang tertunggak dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Dalam hal ini, anda perlu faham tentang apa itu keperluan dan kemahuan. Ramai yang tidak dapat membezakan kedua-duanya ini sehinggakan tanpa sedar mereka telah memupuk sikap boros dalam berbelanja. Jadilah peminjam yang bertanggungjawab, selepas pinjam jangan lupa bayar. 

3. Buat extra money untuk pendapatan tambahan

Mungkin pendapatan yang anda buat sekarang ini tidak mampu untuk menjana kewangan yang mencukupkan. Atau ia cukup hanya untuk menampung sara hidup bulanan bukan untuk membayar hutang. Jika anda berada dalam keadaan seperti itu, gunakanlah kemahiran yang anda ada untuk membuat pendapatan tambahan. Contohnya seperti menjadi seorang freelancer dalam pelbagai bidang yang berbayar di laman web Upwork, Freelancer, atau Fiverr. 

Bosan menghadap komputer setiap hari? Anda boleh memanfaat waktu hujung minggu yang ada dengan menjadi pemandu Grab atau rider FoodPanda. Peluang banyak terbuka di depan mata, hanya sahaja kecekalan dan keinginan untuk berubah itu perlu kuat dalam diri anda, baru anda boleh berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak nak seribu dalih. 

4. Buat permohonan pinjaman koperasi

Ada tak alternatif lain selain membuat pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang? Salah satu cara lain adalah dengan memohon pinjaman koperasi bagi menutup (overlap) atau menyelesaikan tunggakan hutang. Kadang kala, kadar faedah yang ditawarkan pinjaman koperasi jauh lebih rendah berbanding pinjaman peribadi

5. Rangka jadual alternatif untuk pembayaran balik pinjaman

Jadual alternatif yang anda buat perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan dari bank. Cara ini lebih kepada proses memohon budi bicara bank untuk mendapatkan win-win situation dari masalah bayaran balik pinjaman yang membebankan anda. 

6. Latih diri lebih berdisiplin dengan sistem kewangan sendiri

Semua alternatif yang dibincangkan tadi boleh menyelesaikan masalah hutang yang anda tanggung hanya sekiranya dalam diri mempunyai sikap disiplin yang tinggi. Kewangan bukan hanya suatu tanggungjawab sementara sebaliknya sepanjang masa sampai bila-bila. Walaupun nanti anda sudah meninggal dunia, hutang tersebut masih perlu dibayar oleh waris. Begitu dahsyat impak seseorang jika berhutang. Tidak salah berhutang tetapi yang salah jika berhutang tetapi tidak mahu membayar balik. 

Semoga anda mendapat informasi yang bermanfaat tentang apa itu CCRIS dan CTOS. Ingat, sangat penting untuk anda mengekalkan rekod CCRIS dan CTOS yang baik agar anda boleh menikmati fleksibiliti kewangan dan memiliki kehidupan yang harmoni untuk jangka masa yang panjang. Ada hutang, tidak bermakna anda tidak boleh bahagia. Tetapi menjadi peminjam yang berhemah, anda pasti tidak akan rugi sepanjang masa. 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest