Hukum Bitcoin Haram? 6 Info Wajib

Apa yang anda perlu tahu berkenaan dengan hukum bitcoin dalam islam ataupun crypthocurrency yang mula menjadi popular kini. Banyak persoalan berkaitan dengan hukum berkenaan dengan aset digital ini bakal terjawab dalam artikel pada kali ini. Beberapa pandangan daripada majlis agama di Malaysia dan pandangn saya sendiri. Lepas itu, anda tentukan sama ada ianya haram ataupun halal.

Boleh ke kalau kita menggunakan bitcoin dalam urusan transaksi harian? Dan apakah pula hukumnya dari segi syarak dan kewangan Islam? Artikel pada kali ini akan membincangkan secara mendalam tentang hukum penggunaan bitcoin dalam Islam berpandukan pendapat-pendapat ulama’ dan ahli-ahli agama yang telah memutuskan penyelesaian bagi isu ini dengan sangat saksama. 

hukum bitcoin dalam islam

Apa itu bitcoin?

Nama bitcoin diambil daripada panggilan “bit” dan “coin” yang bermaksud mata wang. Ia adalah pelopor bagi semua mata wang digital yang digelar sebagai cryptocurrency. Uniknya, walaupun bitcoin rasmi dilancarkan pada 3 Januari 2009, kira-kira 12 tahun yang lalu namun individu yang mewujudkan mata wang ini masih misteri hingga kini dan tiada maklumat lain yang ditemukan selain namanya dikenali sebagai Satoshi Nakamoto. 

Jika dikaji dengan lebih mendalam, tujuan Nakamoto menghasilkan bitcoin adalah kerana beliau kecewa dengan mata wang fiat yang sering dimanipulasi oleh dasar kewangan yang tidak menentu dan tidak lupa juga dengan kawalan khusus serta pengaruh dari bank-bank pusat. 

Untuk info lebih lanjut berkenaan dengan Bitcoin ini, anda boleh ke artikel Apa Itu Bitcoin di SINI.

Nilai mata wang bitcoin terus mengila

Graf di bawah ini menunjukkan peningkatan nilai mata wang digital bitcoin di paras yang amat tinggi sekitar pertengahan bulan Jun ini. Sangat berbeza sekali jika di bandingkan dengan mata wang lain di dunia yang kadang-kala menunjukkan penurunan yang luar biasa pada masa-masa yang tertentu kesan dari keseimbangan geopolitik negara yang terlibat. 

Simbol unit mata wang digital bitcoin adalah BTC manakala jumlah yang paling kecil dalam mata wang ini adalah 0.00000001 bitcoin atau juga digelar sebagai “satoshi”. 

Apapun, berikut adalah antara beberapa pandangan mufti-mufti di Malaysia berkenaan dengan aset digital ini.

Pendapat mufti Wilayah Persekutuan

Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berpendapat bahawa hukum mengguna pakai bitcoin dalam urusan transaksi boleh berubah-ubah jika penambahbaikan dilakukan sama ada dari segi bentuk pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa, dan regulasi untuk mengelakannya daripada diekploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Hal ini kerana, buat masa ini bitcoin masih belum menunjukkan bahawa ia menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam kerana belum mampu untuk mencapai kestabilan pada nilai harganya. Beliau juga berpendapat bahawa bitcoin lebih menjurus kepada satu bentuk aset pelaburan dan bukannya sebagai sebuah mata wang alternatif untuk menggantikan sistem mata wang yang sedia ada sekarang. 

Oleh itu, sekiranya penambahbaikan tersebut diambil dengan memurnikan lagi faktor-faktor yang boleh menghalang bitcoin ini daripada mengundang pelbagai kemudaratan dan kemaslahatan umum, pastinya hukum menggunakan bitcoin akan menjadi harus. Namun, dengan mengguna pakai kaedah kaedah Sadd al-Zarai’, sekiranya tiada perubahan maka penggunaan bitcoin perlu dielakkan lalu guna pakai sahaja mata wang sedia ada bagi menutup jalan-jalan kemudaratan yang lebih besar. 

Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

“Tindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.”

Link Bayan Linnas Siri ke-153: https://muftiwp.gov.my/

Pendapat mufti Perlis

Bagi pendapat daripada Mufti Perlis di bawah Mesyuarat Majlis Agama Islamd dan Adat Istiadat Melayu Perlis pula, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengeluarkan enam lagi pandangannya tentang isu mata wang bitcoin ini.

Pertama: Memiliki bitcoin adalah sah dan diiktiraf nilai hartanya kerana atas sifat semulajadi yang boleh diterima oleh pemiliknya seperti “multi-function and benefit”. Oleh itu, ia jelas memberi manfaat yang tersendiri dan harus hukumnya khusus bagi komuniti yang tahu akan manfaat dan cara mengguna pakainya dengan betul.

Kedua: Bitcoin pada masa kini tidak digalakkan dipakai kerana mata wang tersebut tidak mencukupi syarat bagi klasifikasi mata wang dan tidak terpakai ke atasnya garis panduan hukum Sarf. Pendapat ini lebih tepat mengikut pendapat yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu. 

Ketiga: Mana-mana individu yang menjalankan transaksi dengan menggunakan bitcoin sebagai mata wang bagi tujuan pembayaran, pemindahan wang, aset simpanan dan berdagang dengannya, maka hukumya adalah harus. 

Keempat: Bitcoin diiktiraf sebagai aset bernilai, maka setiap pemilikan yang melebihi nilai 85 gram emas (Nisab) serta cukup tempoh pemilikan selama satu tahun (Haul), wajib ke atas pemilik Bitcoin untuk membayar zakat harta sebanyak 2.5 % dari nilai semasa Bitcoin tersebut.

Kelima: Individu yang mahu masuk dalam dunia bitcoin perlu memahami segala selok-belok tentang cara penggunaannya dengan betul. Ini untuk memastikan anda lebih peka dan faham jika berlaku sesuatu perkara untuk mengelakkan dari ditipu atau tertipu. Dengan memahami sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam, anda boleh mengelakkan segala bentuk risiko yang berkaitan dengan transaksi bitcoin. Majlis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam SKIM Bitcoin melalui skim cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan kerana hukumnya adalah haram. 

Keenam: Hukum penggunaan bitcoin boleh berubah-ubah mengikut penambaikan yang berlaku ke atas mata wang ini atau faktor-faktor lain yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengharamkannya atas dasar menjaga kebaikan awam dan mengelakkan mudarat. Sehingga hari ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih belum mengeluarkan fatwa atau hukum berkaitan.

Link info: mufti.perlis.gov.my

Pendapat mufti Johor

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad masih belum mengeluarkan sebarang hukum atau fatwa terhadap penggunaan mata wang bitcoin dalam transaksi. Menurutnya, isu ini masih di peringkat kajian Majlis Kebangsaan Islam Malaysia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa apabila bitcoin ini sudah dinilai cukup dan menepati hukum syarak, dan syarat-syarat wajib zakat, maka fatwa yang jelas akan dikeluarkan. 

Pendapat Suruhanjaya Sekuriti (SC)

Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memberikan gambaran bahawa bitcoin adalah patuh syariah dan hukum pelaburan bitcoin adalah harus serta wajib bagi mereka yang menerima keuntungan daripadanya untuk mengeluarkan zakat. 

Walaupun ramai yang berhujah dengan mengambil isu gharar sebagai satu batu loncatan untuk menyebarkan kemudaratannya, tetapi beliau berpendapat individu yang terlibat dengan bitcoin pasti sudah maklum tentang risiko yang bakal ditanggungnya. Hal ini kerana tidak logik jika seseorang itu akan mencuba sesuatu yang baru dengan secara tiba-tiba tanpa berfikir dan mengkaji terlebih dahulu lebih-lebih lagi melibatkan wang. Beliau berkata risiko tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.

Pendapat CEO Elzar Shariah Advisory Sdn. Bhd

Eleman gharar (penipuan) tidak ada sama sekali dalam peringkat penciptaan dan penghasilan bitcoin, itulah yang menyakinkan Dr. Zaharuddin Abd Rahman, CEO Elzar Shariah Advisory Sdn. Bhd tentang mata wang ini. Beliau yang telah mencuba sendiri traksaksi menggunakan bitcoin juga berkata bahawa walaupun gharar tidak wujud dalam peringkat awal namun sewaktu peringkat transaksi atau lebih tepat “exchange” ia berpotensi untuk berlaku kerana individu tersebut tidak mempunyai kuasa untuk memastikan yang proses transaksi betul-betul berjalan tanpa sebarang penipuan. 

Pendapat beliau, harus bagi sesiapa yang menyimpan bitcoin tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu membayar zakat simpanan apabila cukup setahun (haul). Proses mengkaji, menyelidik, dan memerhati perlu dilakukan oleh individu yang berniat untuk masuk dalam dunia kripto kerana ianya masih baru diterima di Malaysia. 

Pendapat Mufti Muhammad Abu-Bakar

Berdasarkan kajian yang Mufti Muhammad Abu-Bakar, penasihat pematuhan Syariah di Blossom Finance Jakarta lakukan bertajuk Shariah Analysis of Bitcoin, Cryptocurrency, and Blockchain, beliau cenderung untuk mengharuskan bitcoin dengan beberapa syarat seperti:

  • Hukum bitcoin dalam islam adalah harus bagi negara yang tidak melarang transaksi bitcoin.
  • Bitcoin perlu melalui proses jual beli atau digunakan sebagai satu bentuk mata wang seperti tujuan asal penciptaannya dan bukan sebagai satu aset pelaburan
  • Individu yang ingin terlibat dengan transaksi bitcoin perlu peka, faham, dan berhati-hati dengan risiko dan penipuan yang berkemungkinan boleh berlaku. 

Kesimpulannya

Berdasarkan pandangan ulama, dan fatwa mufti di atas, boleh disimpulkan bahawa mata wang kripto seperti bitcoin adalah harus bagi umat Islam memilikinya di Malaysia. Namun begitu, ia tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat untuk memastikan segala faktor yang boleh menjerumus mata wang ini dari kemudaratan boleh dielakkan. 

Perkara ini diterangkan dengan jelas dan tindakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) memberikan kelulusan penuh kepada permohonan LUNO sebagi sebuah platform pertukaran mata wang kripto pertama di Malaysia menunjukkan yang mata wang tersebut terus diterima oleh rakyat Malaysia. SC telah mengesahkan bahawa Luno telah memenuhi semua syarat yang diperlukan dan kini boleh menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk membeli, menjual dan menyimpan matawang kripto di platformnya.

Sebagai alternatif, anda pun boleh tengok penerangan ringkas berkenaan dengan isu dan topik ini dalam video di bawah;

Diharapkan artikal hukum Bitcoin dalam islam ini memberikan anda informasi yang berguna dan bermanfaat untuk anda membuat keputusan tentang penggunaan mata wang bitcoin dalam transaksi. Setiap pendapat yang dinyatakan di atas tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk memudahkan anda membuat keputusan sendiri demi masa depan anda. 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *