Modal Kedai Runcit Kecil-Kecilan- 6 Info

Macam mana nak dapatkan modal kedai runcit kecil-kecilan? Orang lain sibuk sana sini dengan meniaga makanan, buat servis dobi layan diri, menjual burger di tepi jalan dan sebagainya tetapi anda minat pula kepada bidang peruncitan. Sebenarnya, apa yang seronok sangat berniaga kedai runcit? Artikel pada kali ini akan berkongsi serba sedikit tentang bagaimana memulakan perniagaan kedai runcit dan berapa modal yang perlu anda keluarkan.

Industri peruncitan di negara ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif oleh kerana peningkatan prestasi ekonomi negara. Dalam masa yang sama ia membawa maksud bahawa kuasa beli pengguna tempatan adalah sangat tinggi dalam menampung pertumbuhan syarikat peruncitan di seluruh negara.

Kalau anda nak dapatkan info dan cara untuk buka kedai runcit kecil-kecilan, ini adalah artikel yang anda perlu baca.

kedai runcit kecil-kecilan

Apakah perniagaan runcit?

Perniagaan runcit adalah sebuah perniagaan yang menyediakan perkhidmatan jualan langsung kepada pengguna akhir produk, seperti bahan makanan, barang keperluan, kedai buku, tempat membeli-belah, kedai pakaian, dan sebagainya.

Bisnes peruncitan biasanya memiliki logistik yang melibatkan gudang atau pusat pengedaran yang mampu membekalkan kedai, pengangkutan yang mencukupi, dan saluran pengedaran fizikal seperti kedai bebas atau pusat beli-belah.

Kalau anda perasan, bisnes kedai runcit ini majoriti diusahakan oleh bangsa Cina. Mereka bermula dari kedai runcit kecil-kecilan, lalu mula bangunkan pula kedai borong, pasaraya dan sebagainya. 

Belajar dari 99 Speedmart dan Mydin

Setiap usaha kita tidak ada yang mustahil. Bahkan mampu membuahkan hasil yang lebih besar. Tidak ingatkah kita pada kisah Mydin yang dahulu hanya merupakan kedai runcit kecil di pasar malam? Kemudian sekarang telah menjadi empayar Hypermarket yang besar di Malaysia

Hasil usaha pengasasnya, Allahyarham Mydin Mohamed dengan bantuan ahli keluarga yang lain, menjadikan nama Mydiin dikenali di seluruh pelosok Malaysia. 

Tidak dilupakan juga kepada kisah Lee Thiam Wah, pengasas 99 Speedmart yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) sejak kecil. Beliau juga bermula dari kedai runcit kecil-kecilan iaitu Pasar Raya Hiap Hoe sehingga menjadi rangkaian 99 Speedmart yang besar di seluruh negeri.

Mana tahu, anda yang baca artikel ini pun tak lama lagi boleh membuka banyak cawangan kedai runcit di Malaysia.

Kalau tak nak bermula dari 0, boleh cuba juga untuk memohon cara menjadi francais kedai runcit seperti Speedmart, 7 Eleven dan sebagainya. Info lanjut berkenaan dengan francais boleh baca dalam artikel kami di SINI.

Jenis perniagaan runcit

  • Perniagaan runcit terdiri daripada perniagaan runcit kecil-kecilan dan besar-besaran
  • Perniagaan runcit kecil-kecilan terdiri daripada peruncit tanpa kedai dan berkedai
  • Peruncit tanpa kedai terdiri daripada penjaja dan pegerai
  • Peruncit berkedai terdiri daripada pekedai am dan pekedai khusus
  • Perniagaan runcit besar-besaran pula terdiri daripada pasar raya, Gedung aneka jabatan, pasar raya besar, kedai sejaras dan koperasi runcit
  • Bentuk lain peruncitan terdiri daripada mesin peruncitan automatik, pesanan mel, francais, jualan langsung, e-dagang, televisyen interaktif dan kedai katalog

Ciri-ciri perniagaan runcit kecil-kecilan

Antara ciri perniagaan runcit yang telah berjaya menarik banyak usahawan adalah seperti:

  • Hanya memerlukan modal yang kecil
  • Boleh dimiliki secara perseorangan atau perkongsian
  • Sangat mudah ditubuhkan
  • Mudah diurus
  • Lokasi perniagaan yang strategik
  • Memerlukan layanan peribadi sahaja
  • Memiliki kos overhead sangat rendah

Berapa modal permulaan kedai runcit kecil-kecilan

Secara umumnya, anggaran jumlah modal untuk membuka kedai runcit dipengaruhi oleh saiz perniagaan tersebut. Perhatikan kepada jenis perniagaan runcit yang telah kami ulas tadi. 

Namun sekiranya, anda hanya berniat untuk membuka kedai runcit kecil-kecilan seperti berniaga di depan rumah atau kampung, anggaran dalam RM10K sudah memadai. Dengan modal itu anda boleh menjual barang-barang asas keperluan rumah yang selalu menjadi permintaan pembeli. 

Manakala untuk membuka kedai runcit di dalam premis-premis perniagaan, modal terendah yang perlu anda keluarkan pada tahun 2022 ini adalah sekitar RM 30K.

Modal ini akan dibahagikan untuk membeli barang keperluan, peralatan berniaga, dan kos-kos lain seperti:

1. Rak untuk menyusun barang-barang

Untuk permulaan, tdak perlu rak yang baru untuk letak di kedai anda. Sekiranya anda boleh beli rak second hand, itu telah memadai. Yang penting ianya berkualiti, dan harganya pula murah. Setakat cacat cela sedikit dimana-mana itu anda boleh cover semula dengan cat dan sebagainya untuk lebih cantik.

2. Peti ais, peti sejuk, chiller, dan sebagainya

Dalam perniagaan runcit, salah satu perkara penting yang perlu ada ialah ais batu dan air minuman. Peti sejuk atau peti ais biasanya digunakan untuk menyimpan ais batu manakala untuk minuman dalam tin, air kotak, dan sayur-sayuran, anda memerlukan chiller untuk mengekalkan kesejukkan dan kesegaran barang yang dijual.

3. Pengangkutan untuk beli barang    

Tanpa kenderaan yang betul, sukarlah anda untuk membuat proses penghantaran barang-barang yang dijual. Hal ini kerana, ada sesetengah pembekal yang tidak penyediakan khidmat penghantaran barang ke kedai kita. 

4. Mesin kira

Jika anda rasa ianya perlu diperingkat awal-awal ini, maka belilah untuk keperluan perniagaan. Namun, jika anda boleh simpan kira-kira secara manual, tidak beli pun tidak mengapa.

5. Bil elektrik, air dan sebagainya

Bil ellektrik dan air memang wajib jika anda mempunyai kedai runcit sendiri. Jika perniagaan memfokuskan hanya menjual barang kering dan basah, mungkin kos air dan elektrik tidak jauh berbeza. Kalau mahu kos bil air lebih murah, boleh fokuskan strategi perniagaan anda dengan menjual barang kering sahaja. 

Bil internet itu pilihan sekiranya anda memerlukan atau berniat untuk melebarkan sayap perniagaan anda hingga menjadi bisnes online.

6. Upah pekerja

Ada pekerja, mestilah ada juga upahnya. Jika dulu bayaran upah sebagai penjaga kedai runcit boleh dapat sehingga RM 4 sejam. Pada tahun 2022 ini berapa agaknya bayaran yang relevan anda bagi?

7. Gaji untuk diri sendiri

Siapa kata berniaga runcit tidak banyak untung? Anda adalah pekerja untuk pernigaan anda sendiri, jadi anda kena tahu berapa kadar upah yang sesuai untuk diri sendiri. 

Strategi kejayaan dalam perniagaan kedai runcit

Dalam perniagaan kedai runcit, kita sudah tentu tidak dapat lari dengan persaingan dari luar dan pengaruh ekonomi negara sendiri. Kadang kala risiko yang nampak kecil itu sebenarnya boleh membawa kepada kesan yang besar dan merumitkan lagi perniagaan kita. Antara tips kejayaan dalam perniagaan runcit adalah:

1. Yakin rezeki dari Tuhan

Setiap umat Islam mestilah yakin dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. 

Firman  Allah  SWT  dalam  Surah  Hud  ayat 6 maksudnya:  “Dan  tiadalah  sesuatu pun  dari  makhluk-makhluk  yang  bergerak  di  bumi  melainkan  Allah  jugalah  yang  menetapkan rezekinya  dan  mengetahui  tempat  kediamannya  dan  tempat  ia disimpan.  Semuanya  itu  tersurat  di  dalam  Kitab (Lauh mahfuz) yang  nyata  (kepada  malaikat-malaikat  yang  berkenaan).”

Rezeki seseorang itu cukup dan memenuhi keperluan hidupnya, bukan mengikut kehendak yang diinginkan. Oleh itu, kita harus tahu dan belajar untuk menguruskan kewangan dengan betul agar  boleh berbelanja dengan hemat dan tidak boros.

2. Kawalan harga

Setiap barang mempunyai harga yang berbeza-beza bergantung kepada peratusan margin keuntungan. Oleh yang demikian, strategi kawalan harga memainkan peranan penting untuk memastikan harga produk tidak terlalu rendah sehingga menjejaskan margin untung dan tidak terlalu tinggi.

3. Ketekunan

Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk terus maju dalam apa jua perniagaan yang anda lakukan. Jangan pernah sesekali berputus asa. 

4. Disiplin diri

Perniagaan sendiri menjadikan anda boss kepada diri anda sendiri. Oleh itu, anda perlu melatih diri dengan disiplin yang kuat dan rutin harian yang konsisten. Hidup anda perlulah berjadual dan tidak sesekali membuang masa dengan sia-sia. 

5. Bersikap ramah dan mesra

Pernah atau tidak anda pergi ke kedai, kemudian penjual tersebut macam tidak ikhlas sahaja melayani anda? Mungkin sebagai penjual, kita rasakan itu perkara biasa. Dengan menganggap, “Oh, pelanggan mesti fahamlah.” Sedar atau tidak kita telah memberikan perspektif buruk tentang keseluruhan perniagaan kita kepadanya. 

Jangan sesekali berniaga dengan memikirkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup menindas pelanggan yang datang ke kedai. 

Tidak ada yang mustahil dalam kehidupan ini selagi mana kita yakin dengan segala usaha yang dilakukan. Diharapkan artikel berkenaan dengan modal kedai runcit kecil-kecilan dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang berguna dalam menuju empayar perniagaan yang lebih megah dan besar. 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *