Apa itu Fixed Deposit ataupun dalam bahasa mudahnya adalah FD? Artikel pada kali ini adalah khusus untuk menjawab persoalan berkaitan dengan FD, alternatif berkaitan dengan pelaburan ini dan jangkaan untuk pelaburan ini sama ada berbaloi ataupun sebaliknya.
Fixed Deposit ataupun simpanan tetap ini adalah salah satu instrumen pelaburan jangka pendek yang anda boleh gunakan dan manfaatkan untuk tujuan pelaburan. Ramai rakan dan kenalan saya menggunakan ataupun memanfaatkan FD ini untuk tujuan jangka pendek. Contoh satu entiti perniagaan dapat dana yang besar, entiti ini boleh simpan dalam simpanan tetap untuk tempoh pendek seperti 1 bulan ataupun 3 bulan dan memperolehi manfaat.
Pun ada NGO (badan bukan kerajaan) yang mendapat derma, kemudian mereka letak sekejap dalam FD ini sebelum diagihkan kepada penderma. Cuma kami tak nak sebut NGO mana sebab nanti akan timbulkan kontroversi pula, tetapi memang ada.
Apa Itu Fixed Deposit
FD ataupun simpanan tetap adalah salah satu instrumen kewangan yang ditawarkan oleh institiusi perbankan yang ada di Malaysia. Ianya boleh dijadikan sebagai satu instrumen pelaburan, boleh juga dijadikan sebagai satu simpanan. FD semestinya lebih tinggi sedikit berbanding dengan simpanan dalam bank biasa. Kebaisanya akaun simpanan menawarkan sehingga 0.5% tetapi FD menawarkan sehingga 3% setahun.
Adakah berbaloi simpan duit anda dalam FD ini? Ianya bergantung kepada keperluan dan strategi anda. Mungkin berbaloi, mungkin tidak, apapun anda boleh baca artikel ini sampai habis dan diharapkan ianya memberikan penerangan jelas sama ada anda boleh “consider” untuk simpan dalam FD ataupun sebaliknya.
Bagaimana Nak Manfaatkan Simpanan Tetap Ini?
Jika dividen yang ditawarkan oleh ASB dan Tabung Haji terlalu rendah, FD adalah antara pilihan. Ianya merupakan satu pelaburan yang selamat dan dilindungi oleh PIDM. Jika dahulu dividen dalam Tabung Haji dan ASB adalah tinggi, tetapi sejak akhir-akhir ini akibat ketidaktentuan ekonomi dan pengurusan, ianya menjadi serendah 1.25%. Memang rendah, dan disebabkan oleh itu, FD telahpun menjadi satu lagi alternatif lain kepada yang muslim.
Satu lagi sebagai contoh anda mendapat satu dana sehingga 6 angka, mungkin dana untuk projek dan lain-lain yang anda bakal gunakan dalam tempoh 3 bulan. Boleh letak dulu dana tersebut dalam Fixed Deposit kerana ianya insyaAllah selamat dan dilindungi PIDM.
Kami percaya ada banyak lagi cara untuk memanfaatkan dana seperti ini dan FD adalah salah satu cara yang anda boleh manfaatkan buat masa ini.
Fixed Deposit Ni Patuh Syariah Ke?
Konsep patuh syariah ini mudah sahaja, jika FD ataupun simpanan tetap ini ditawarkan oleh perbankan Islam, ianya tak menjadi masalah. Kenapa tiada masalah? Kerana setiap perbankan Islam yang ada di Malaysia ini mempunyai panel syariah masing-masing yang mengawal selia perjalanan pelaburan dalam sesuatu bank. Jika anda mempunyai pendapat berbeza dan hujah lain berkaitan dengan FD ini tidak patuh syariah walaupun dikeluarkan oleh institiusi perbankan islam, boleh berikan info di ruangan komen di bawah.
Ianya sama konsep dengan pelaburan saham untuk kaunter yang patuh syariah dengan yang bukan. Ya, sama sahaja konsepnya.
Berikut adalah antara beberapa bank yang menawarkan FD patuh syariah yang anda boleh bandingkan.
- Agrobank Fixed Return Islamic Account-i
- Affin Islamic Term Deposit-i
- Al-Rajhi Term Deposit-i
- Alliance Term Deposit-i
- AmBank Term Deposit-i
Cara Buat Simpanan Tetap
Anda boleh ke bank-bank yang disenaraikan di atas ataupun walk ini ke kaunter berdekatan untuk mendapatkan info lanjut berkenaan dengan simpanan tetap ini. Ada juga beberapa yang tak sempat kami senaraikan di atas ini yang anda boleh dapatkan info lanjut untuk membuat simpanan tetap.
Fixed Deposit VS ASB
ASB ini lebih fleksible berbanding dengan FD. Sekiranya anda nak buat simpanan tetap sebulan, tak digalakkan untuk buat simpanan di FD.
Dari segi dividen setakat ini memang ASB lebih tinggi berbanding dengan FD. Tetapi akan datang tidak pasti, boleh jadi jika dividen ASB semakin rendah, mungkin ramai pada masa itu akan mula beralih untuk membuat simpanan di FD.
Fixed Deposit vs ASB mana yang berbaloi? Anda boleh tentukan sendiri, kalau anda mempunyai wang ataupun dana untuk satu jangka masa terhad, FD adalah antara tempat untuk anda buat simpanan.
FD VS Tabung Haji
Semasa kerajaan umumkan dividen Tabung Haji yang terlalu rendah, pada masa itu, ramai yang sudah mula untuk berfikir alternatif lain terutama bagi yang muslim. Bagi mereka yang muslim di Malaysia, kalau nak buat simpanan, memang biasanya akan memilih sama ada Tabung Haji ataupun ASB.
Akan tetapi, semuanya berubah dan ramai yang sudah mula untuk memikirkan untuk membuat simpanan di dalam Fixed Deposit.
Secara peribadi, saya masih selesa membuat simpanan di Tabung Haji. Mungkin pada masa akan datang saya boleh cuba untuk membuat simpanan di FD dan ianya bergantung kepada strategi kewangan pada masa tersebut.
Beza Unit Trust Dan Fixed Deposit
Berbalik kepada soalan apa itu Fixed Deposit. Ianya satu instrumen kewangan ataupun akaun simpanan tetap yang diuruskan oleh pihak bank. Unit Trust seperti Public Mutual, Wahed Invest ataupun Raiz invest ini pula adalah satu dana yang merangkumi duit pelabur dan dana ini diuruskan oleh pengurus dana yang bertauliah.
Apa bezanya? Berikut adalah antara beberapa perbezaan yang anda perlu tahu.
- Kadar simpanan dalam Fixed Deposit adalah lebih selamat dan tiada risiko berlaku kerugian.Unit amanah pula terdedah kepada risiko kerugian kerana kebanyakan dana dilaburkan dalam pasaran saham sama ada Bursa Malaysia ataupun pasaran luar negara.
- Pulangan pelaburan Unit Amanah lebih tinggi tetapi terdedah dengan risiko pelaburan. “High risk high return”. Manakala FD dari segi pulangan pula tidaklah setinggi unit amanah.
- Unit amanah biasanya memerlukan jumlah dalam lingkungan RM1000 minimum untuk membuat pelaburan. Dan ianya lebih fleksible terutama untuk membuat pengeluaran dan menambah dana. FD memerlukan jumlah yang lebih besar jika tempoh simpanan lebih pendek, ianya bergantung kepada terma dan syarat.
Pengalaman Simpan Fixed Deposit
Jika anda mempunyai pengalaman simpan fixed deposit boleh kongsikan di ruangan komen. Saya sendiri tidak berkesempatan untuk membuat simpanan dalam FD kerana kebanyakan dana saya ada dalam Tabung Haji, Unti Trust dan saya aktif melakukan dagangan dalam pelaburan saham.
Adakah Fixed Deposit Sesuai Dengan Anda?
Mungkin sesuai mungkin tidak. Tetapi kalau anda datang ke sini dan nak tahu lebih lanjut, tiada masalah untuk ke bank-bank berhampiran. Lagipun simpanan tetap ini mempunyai risiko pelaburan yang rendah.
Apapun, harapnya, artikel apa itu Fixed Deposit ini menjawab persoalan anda dan jika memang anda nak buat simpanan dalam FD, silakan ke bank berhampiran. Kalau nak cari alternatif lain, ada banyak yang anda boleh fikirkan seperti Unit Trust, Wahed Invest, Pelaburan Saham dan lain-lain lagi.