8 Tips Pengurusan Kewangan Keluarga 2023

Macam mana tips pengurusan kewangan keluarga yang berkesan? Berkahwin di usia muda memang sangat seronok. Jika rakan-rakan sebaya anda sekarang sedang bergelut dengan soal cinta, anda sudah pun melangkah terlebih dahulu ke satu fasa baru iaitu gerbang perkahwinan. Yang pasti hidup sewaktu bujang dan sudah berkahwin amat berbeza. Bila berdua, semuanya akan bertambah. Bertambah dari segi tanggungjawab, amanah, emosi, kewangan, dan bermacam-macam lagi. 

Artikel pada kali ini akan mengupas tentang tips bagaimana mengurus kewangan keluarga dengan mudah khusus untuk pengantin baru yang masih bertatih untuk mencari hala tuju mengatur ekonomi rumah tangga. 

Ada banyak tips dan perkongsian yang bakal kami kongsikan kepada anda.

pengurusan kewangan keluarga

Malas ukur baju di badan sendiri, punca masalah hutang?

Peribahasa Melayu ada mengatakan, “ukur baju di badan sendiri”, yang bermaksud manusia perlu menjalankan kehidupan berdasarkan dengan kemampuan diri sendiri. Adakah ini sekadar kata-kata biasa atau dongeng yang direka atau pun hanya sindiran semata-mata untuk membuat manusia marah? Hakikat, inilah yang sebenarnya berlaku pada masyarakat pada hari ini. Ramai yang ghairah untuk mempamerkan apa yang mereka ada walau dengan apa cara sekalipun. 

Mereka rasa menunjukkan sesuatu yang berharga, bernilai, dan tidak mampu dimiliki oleh semua orang adalah definisi untuk merasakan diri mereka hebat berbanding orang lain. Sifat pentingkan diri sendiri ini akhirnya akan memakan diri.

Berapa ramai yang memuat naik foto-foto di media sosial yang mereka sedang berada dalam pelancongan mewah, sedangkan mereka hanya baring di katil rumah. Berapa ramai yang memuat naik foto-foto mereka memakai pakaian yang berjenama, sedangkan mereka hanya sewa di butik-butik. Dan berapa ramai pula yang sanggup berhutang dengan along kerana mahukan kemewahan sebentar bersama rakan-rakan untuk berfoya-foya. Cukup ramai remaja dan belia pada hari ini melakukannya dan jangan terkejut jika individu yang sudah berbelas tahun mendirikan rumah tangga juga terpalit sama.

Berbelanja dengan hawa nafsu, yang anda akan dapat hanya nikmat yang sementara sahaja. Bak kata pepatah lama “ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.”

Beli rumah yang kecil dahulu

Pengantin dan rumah adalah satu simbolik yang sangat sinonim dan utama dalam membina sebuah rumah tangga. Walaupun sedemikian, jangan terkejut jika ada pasangan yang tidak mahu langsung memikirkan soal memiliki rumah sendiri dan lebih suka untuk menyewa sahaja kerana mereka tidak mahu kusut memikir dengan segala kesusahan dan kemungkinan di kemudian hari.  

Rumah adalah value yang menjadi permulaan kepada semua yang bakal anda lalui bersama pasangan selepas selesai di ijab dan qabulkan. Anda dan pasangan perlukan sebuah tempat untuk mengatur kehidupan sendiri seperti mana yang diinginkan. Tiada lagi mak atau ayah yang ada sebagai sandaran. Segalanya perlu dilakukan sendiri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tampak agak sukar bagi pengantin baru khususnya pasangan muda yang baru mula bekerja untuk memiliki rumah sendiri.

Namun, tidak salah jika anda berfikir dari sekarang dan menguruskan ekonomi bersama sehingga sampai satu saat memiliki rumah sendiri. Membeli rumah memerlukan komitmen, usaha, dan perjalanan yang panjang dan acapkali juga berlaku kepada pasangan yang mengagalkan impian untuk memiliki rumah kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin tinggi. 

Boleh tengok video di bawah ini berkaitan dengan penerangan kami berkenaan dengan cara beli rumah 100% loan.

Tips memiliki rumah pertama:

  • Lakukan pembelian secara bersama (Anda dan pasangan yang bekerjaya boleh mengaplikasikan mode “share and care” dengan menggabungkan pemilikan rumah bersama, lakukan pemohonan pembiayaan perumahan bersama, dan mengeluarkan simpanan akaun 2 KWSP bersama).
  • Ukur baju di badan sendiri (Jangan memaksa diri untuk membeli sebuah banglo jika anda hanya miliki kerjaya biasa sahaja. Yang penting anda mampu untuk membayar rumah tersebut setiap bulan dan keperluan di dalamnya boleh anda penuhi dari ruang tamu hingga ke dapur). 
  • Lokasi (Anda perlu bijak soal menentukan lokasi. Jika anda dan pasangan bekerja berasingan, cari kawasan tempat tinggal yang berada di tengah-tengah antara tempat kerja anda dan pasangan. Selain itu, rumah yang berdekatan dengan pengangkutan awam seperti stesen Komuter, LRT, MRT, dan stesen bas juga boleh membantu dalam mengurangkan kos perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya). 
  • Cari rumah sub sale atau rumah lelong (Tidak mampu memiliki rumah kerana masalah kewangan dan sebagainya bukanlah syarat untuk anda terus mengubur impian anda membeli rumah. Rumah berstatus sub-sale iaitu beli dari pemilik asal atau rumah lelong sangat sesuai membantu keadaan anda saat ini). 
  • Pastikan anda tidak bankrup (Rekod kewangan anda dan pasangan perlu baik dan tidak disenarai hitamkan dalam CCRIS. Segala rekod buruk akan mempengaruhi urusan memiliki rumah). 
  • Gunakan saluran teknologi (Jika dulu anda perlu datang membuat tinjaun dari satu kawasan ke satu kawasan untuk melihat-lihat rumah, namun sekarang segalanya berada di hujung jari sahaja. Gunakan kecanggihan teknologi ini untuk lebih kreatif dalam memilih dan membuat keputusan). 
  • Sertai ekspo hartanah (Ekspo hartanah sangat berguna untuk menambahkan lagi pengetahuan dalam urusan beli dan jual rumah serta pelbagai lagi manfaat yang boleh anda dapatkan. Flyers yang diberikan secara percuma penuh dengan segala info dan jika anda bernasib baik, khidmat kewangan dan perunding jual beli rumah akan berada di sana sepanjang masa untuk menjawab segala soalan dan kemusykilan anda).
  • Membuat pertimbangan dengan keadaan rumah (Sekiranya rumah yang anda ingin beli berstatus sub-sale atau lelong, perkara yang perlu diambil berat adalah keadaan rumah tersebut. Pastikan tiada kerosakan yang teruk seperti kebocoran dan keretakan yang serius). 

Beli kereta biar sepadan dengan gaji

Adakah kereta aset atau liabiliti? Sudah pasti kereta adalah liabiliti dan rumah itu aset. Mengapa kereta liabiliti, kerana jika anda membeli kereta yang berharga puluhan ribu sekalipun, anda pasti perlu mengeluarkan lagi duit setiap hari untuk kos-kos lain seperti minyak kereta, kos servis, insurans, roadtax, dan sebagainya. 

Setiap individu khususnya kaum lelaki yang gila dengan automotif pastinya mempunyai impian untuk memandu kereta mewah seperti BMW, Audi, Mercedes, dan sebagainya. Namun begitu, jangan sesekali anda terus hanyut dengan keinginan tersebut sehingga membuat anda bergelut dengan hutang sendiri. Cukup sekadarnya kereta itu sebagai medium memudahkan urusan untuk ke mana sahaja anda pergi. 

Formula untuk beli kereta:

  • Harga kereta tidak melebihi gaji tahunan
  • Ansuran bulanan mesti tidak melebihi 15% atau kurang dari gaji
  • Beli kereta mengikut keperluan masing-masing

Jangan Ada Banyak Kad Kredit

Siapa yang tidak suka jika diberi kad kredit kepadanya? Sudah tentu semua orang suka. Boleh dikatakan kad kredit adalah pembunuh dalam senyap jika pemiliknya tidak menggunakan dengan betul. Antara cash money dan kad kredit, kebanyakkan orang muda suka memilih kad kredit kerana ia mudah dengan hanya sekali imbas kad tersebut ke mesin, anda sudah boleh membeli barang yang di mahukan.

Namun begitu perlu diingatkan bahawa kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai sumber pinjaman. Anda tahu bukan jika anda menggunakan kad kredit bermakna anda sedang berhutang kerana duit di dalam kad tersebut bukan duit anda. Kad kredit direka untuk memberikan kemudahan dari segi pembayaran dan penjimatan tambahan melalui mata tunai atau ganjaran.

Penggunaan kad kredit yang betul adalah kunci kepada pengurusan kewangan keluarga yang berkesan.

Buat Bajet Kewangan Keluarga

Pengurusan kewangan keluarga khususnya merupakan salah satu aspek yang penting bagi menjaga keharmonian rumah tangga. Tahukah anda masalah kewangan antara punca tertinggi kes penceraian di Malaysia. Anda masih mempunyai masa dan solusi untuk tidak menjadi sebahagian pasangan yang tergolong dalam masalah itu kerana anda mempunyai peluang untuk mengubahnya. 

Cadangan pertama yang boleh diaplikasikan, gabungkan gaji bersama untuk rancang kos kehidupan berkeluarga. Bahagikan ikut formula 30% untuk belanja isi rumah, 30% untuk hutang, 5% ekstra, 5% pemberian dan 30% lebihan. Cadangan kedua, rancang minima 30% lebihan untuk 3 perkara penting ini; 10% simpanan, 10% perlindungan takaful, 10% pelaburan. Ia perancangan sepanjang masa hingga akhir usia.

Belanja Mengikut Kemampuan Kewangan

Dalam rumah tangga, pasangan perlu jujur dan bertolak ansur dalam berbelanja. Ingat anda bukan berseorangan lagi dalam menguruskan kehidupan dan kewangan anda. Dahulukan sesuatu yang lebih mustahak dan utama berbanding keperluan lain yang hanya keinginan semata-mata. Buka dada selapangnya. Jangan sesekali merasakan diri anda terkongkong dengan kehidupan berumah tangga. 

Contohnya, anda sebagai seorang isteri terlalu inginkan gelang emas tetapi dalam masa yang sama duit yang anda dan pasangan miliki juga perlu diasingan untuk keperluan dapur, bil elektrik dan air, hutang kereta per bulan dan sebagainya. Jadi mana satu keperluan dan kemahuan? Si isteri perlu bertolak ansur dengan suami dengan membeli keperluan utama terlebih dahulu dan menabung wang baki yang ada untuk gelang emas tersebut. 

Elakkan Pembiayaan Peribadi Dan Hutang Yang Tidak Perlu

Pinjaman peribadi dan kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit sebenarnya tidak lebih daripada berhutan. Seseorang yang tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan dia menjadi muflis.

Pinjaman peribadi dan kad kredit memang jalan yang mudah untuk mendapatkan duit tetapi semuanya ini akan membebankan anda pada masa akan datang. Kehidupan moden bukan untuk membuat anda bergelut dengan sengsara tetapi sebaliknya untuk memudahkan urusan anda sehari-hari. 

Cipta Tabung Berwarna

Sikap suka menabung yang diajar sejak kecil lagi perlu diaplikasikan sepanjang masa. Menabung mempunyai pelbagai manfaat yang boleh anda dapatkan. Antaranya seperti sentiasa mempunyai bekalan wang untuk kegunaan kecemasan, mempunyai simpanan masa hadapan, memupuk sikap berjimat cermat dan tidak boros atau membazir. 

Cara menabung dengan pasangan:

  • Jelas matlamat kenapa hendak menabung
  • Anda dan pasangan perlu saling berjimat
  • Hadkan makan di luar rumah dan lebih banyak masak sendiri bersama
  • Elakkan berhutang jika tiada keperluan yang terlalu mendesak
  • Simpan setiap hari walaupun sedikit
  • Buat catatan perbelanjaan anda dan pasangan
  • Selesaikan masalah yang dihadapi bersama
  • Simpan 10 peratus gaji dalam tabung kecemasan setiap bulan

Perbanyakkan Sedekah

Rezeki itu milik Allah SWT, semakin anda ikhlas dalam memberi kepada orang lain, semakin mudah rezeki yang akan anda dapatkan. Inilah kunci jutawan-jutawan di luar sana menambah rezeki mereka. Islam sendiri mengajarkan, bahawa untuk kaya seseorang itu perlu bersedekah. Sedekah tidak mengurangkan duit sebaliknya menambahkannya lagi dan lagi.

Diharapkan artikel berkenaan pengurusan kewangan keluarga ini boleh memberikan anda info yang sangat berguna untuk memulakan gerbang rumah tangga anda bersama pasangan. Anda mahukan perkahwinan yang indah dan anda pastinya mahukan juga sebuah rumah tangga yang damai. Rancang segalanya dengan hemat dan penuh saksama, akhirnya segala impian yang anda idamkan bersama pasangan akan mampu dikecapi dengan kebahagiaan. 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *